Trek larian baharu beri manfaat kepada sekolah-sekolah di Papar

Trek larian baharu beri manfaat kepada sekolah-sekolah di Papar-Armizan

ARMIZAN Mohd. Ali (tengah) menyaksikan simbolik penyerahan pengurusan trek larian getah sintetik Padang Pekan Papar semalam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAPAR: Sekolah-sekolah di daerah ini tidak perlu lagi menumpang padang kompleks sukan daerah lain untuk mengadakan aktiviti sukan dengan siapnya trek larian getah sintetik di Padang Pekan Papar.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, trek larian itu sebagai alternatif awal sementara menunggu permohonan membina Kompleks Sukan Papar diluluskan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu berkata, penyiapan trek larian itu membolehkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) menguna pakai trek larian itu bagi mengadakan kejohanan sukan peringkat daerah pada masa akan datang.

Beliau berkata, trek larian dibina dengan kos RM1.2 juta yang diluluskan kerajaan negeri dan sedikit tambahan daripada kerajaan Persekutuan itu berjaya disiapkan dalam tempoh dua bulan.

“Dengan adanya trek sintetik ini, ia boleh digunakan masyarakat setempat khususnya anak-anak sekolah untuk bersukan kerana selama ini mereka terpaksa meminjam fasiliti padang di Kompleks Sukan Beaufort dan Penampang.

“Sebenarnya dulu memang ada rancangan membina kompleks sukan di Kampung Beringgis tapi, bila perubahan kerajaan pada 2019, ia telah dibatalkan kerana isu tanah.

“Ini yang kita tengah usahakan. Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penggunaan Tanah daerah, saya telah minta supaya pejabat daerah dan Jabatan Tanah untuk mengenal pasti tanah yang sesuai sama ada di DUN Kawang, Pantai Manis atau Limbahau untuk kita mohon dan gunakan sebagai tapak Kompleks Sukan Papar,” katanya selepas merasmikan trek larian getah sintetik di Padang Pekan Papar semalam.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan kepada Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah untuk mengambil insiatif awal mewartakan tanah-tanah yang bersesuaian sebagai tapak projek perumahan rakyat.

“Kita kena fikir 10-20 tahun akan datang, keperluan perumahan semakin meningkat jadi, lebih baik sekiranya kerajaan negeri dapat mengambil langkah proaktif buat pewartaan bagi tanah yang dikenal pasti untuk digunakan sebagai tapak projek perumahan rakyat.

“Langkah awal ini penting bagi menampung keperluan kerana kita khuatir jika menunggu 10 atau 20 tahun lagi, tanah yang ada akan berkurangan.

“Dengan rancangan awal ini, walaupun peruntukan belum ada, sekurang-kurangnya bila peruntukan diluluskan oleh kerajaan Persekutuan atau negeri kelak maka, tapak sudah tersedia untuk bolehkan projek dilaksana dengan kadar segera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya