PETALING JAYA: Tidak mengiyakan atau menafikan dakwaan netizen dia sedang berbadan dua, penyanyi, Shila Amzah sebaliknya meminta agar segelintir warganet berhenti bercakap tentang saiz tubuh seorang wanita.
Penyanyi Memori Tercipta itu dalam pada masa sama juga meminta agar semua pihak menghormati dan menjaga batas percakapan di ruangan komen khususnya terutama melibatkan bodyshaming.
“Kadang-kadang mungkin kerana gemuk, jadi saya rasa sudah-sudahlah bercakap tentang badan wanita. Tolonglah ada rasa hormat dan jaga batas masing-masing dalam melontarkan kata-kata.
“Dalam zaman ini, rasanya tidak perlu bercakap tentang badan wanita. Tetapi saya tidak marah hanya menegur sahaja,” katanya ketika bersiaran langsung di TikTok baru-baru ini
Sementara itu, isteri kepada pempengaruh, Ubai MZ juga menambah, kehamilan adalah satu isu sensitif terutama kepada pasangan berkahwin terutama mereka yang sedang berjuang untuk mendapatkan cahaya mata.
“Saya pasti ramai di luar sana yang sedang cuba untuk hamil, jadi kita perlu lebih sensitif terhadap perkara itu. Janganlah kita orang yang jahil.
“Apabila seseorang itu membuat keputusan untuk berkahwin, mesti mereka mahu cahaya mata. Ayuh kita doa yang baik-baik,” katanya.
Shila mendirikan rumah tangga dengan Ubai pada 4 Ogos lalu. Dia juga merupakan ibu kepada seorang putera, Seth Uwais, 4, menerusi perkahwinan pertamanya.-UTUSAN