KUALA LUMPUR: Didakwa terlibat dengan kes penyelewengan dan penipuan, bekas Ketua Pengarah Urusan Kumpulan Zavarco, Datuk Wira Ranjeet Singh Sidhu kini menjadi individu yang mendapat penghakiman muktamad dari mahkamah di Malaysia dan United Kingdom.
Terbaharu, beliau didakwa atas pelbagai kesalahan korporat dan penyelewengan dana termasuk kes pecah amanah yang menyaksikan beliau juga merupakan pengasas dan pengarah semasa kumpulan Vascory, kumpulan 3Lyon dan pemilik dan pengawal benefisial Kuber Venture Berhad.
Penghakiman yang disenarai antaranya termasuk tertuduh bersalah dibawah akta jenayah UK atas kesalahan mengeluarkan saham syarikat awam (Zavarco Plc) sebanyak €101.5 juta (RM 512 juta) kepada dirinya tanpa membayar balasan tunai.
Penghakiman mutlak dalam kes ini di Mahkamah Tinggi UK mengarahkan Ranjeet Singh Sidhu membuat bayaran €101.5 Juta termasuk faedah.
Selain itu, bagi 2 kes lainnya adalah tertakluk kesalahan jenayah di Malaysia iaitu penghakiman sebanyak RM29 juta (tidak termasuk faedah) dalam kes diantara Zavarco Berhad lawan Ranjet Singh Sidhu di Mahkamah Tinggi Malaysia kerana secara salah memanipulasi akaun Zavarco Berhad untuk menuntut wang bagi dirinya sendiri sebagai bayaran balik untuk pendahuluan pengarah.
Penghakiman RM61 juta (termasuk ganti rugi punitif dan teladan tetapi tidak termasuk faedah) dalam kes Zavarco plc lawan Ranjeet Singh Sidhu di Mahkamah Tinggi Malaysia kerana melesapkan RM12 juta wang pelabur ke dalam akaun peribadinya.
Tertuduh kini berdepan dengan beban tuntutan yang besar apabila keputusan Mahkamah Tinggi UK dalam kes terhadapnya memerintahkan beliau membayar €84 juta dan faedah tambahan kira-kira €17.5 juta kepada Zavarco plc, yang diterjemahkan kepada penghakiman lebih RM500 juta dalam kadar pertukaran matawang semasa.
Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Rayuan UK telah menolak permohonan bagi rayuan mencabar keputusan Mahkamah Tinggi dan memutuskan bahawa Ranjeet tetap bertanggungjawab untuk membayar jumlah yang ditetapkan kepada Zavarco plc.
Mahkamah Rayuan turut membuat kesimpulan pada 22 Julai 2022 bahawa mereka tidak mempunyai kuasa untuk melepaskan tertuduh daripada liabilitinya.
Untuk satu kes lain, Zavarco plc melalui Mahkamah Tinggi Malaysia telah menyaman Ranjeet sebagai bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Zavarco dan Encik Loo Seng Kit iaitu bekas Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Zavarco, untuk satu penyelewengan wang pelabur lebih RM12 juta yang telah dilesapkan oleh Ranjeet dengan bantuan Loo Seng Kit ke dalam akaun bank peribadinya dan akaun bank rakan-rakannya.
Mahkamah Tinggi pada 24 April 2018, telah memerintahkan Ranjeet dan Loo membayar balik wang RM 12 juta yang di curi kepada Zavarco plc dan masih belum dibayar sehingga hari ini.
Mahkamah juga merekodkan satu deklarasi bahawa Ranjeet dan Loo telah bertindak dalam cara yang memungkiri kewajipan-kewajipan dan/atau obligasi-obligasi kontraktual, statutori dan/atau peraturan, fidusiari dan/atau undang-undang lazim mereka sebagai pengarah-pengarah eksekutif dan/atau pengarah-pengarah Zavarco plc.
Ranjeet dan Loo telah memfailkan rayuan mereka di Mahkamah Rayuan dan kemudiannya di mahkamah Persekutuan namun kesemua rayuan mereka telah ditolak sebulat suara dengan kos.
Mahkamah juga telah memerintahkan penghakimkan bayaran ganti rugi am kepada Zavarco plc serta ganti rugi punitif dan teladan berjumlah kira-kira RM49 juta terhadap Ranjeet dan Loo.
Menurut kenyataan dari Eksekutif Pelabur danPerhubungan Pelabur Zavarco PLC, BS Maniam, tertuduh juga turut diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Malaysia membayar penghakiman sebanyak RM29,412,470 kepada Zavarco Berhad atas kes pecah amanah.
Selain itu, Mahkamah Tinggi juga telah menolak tuntutan Ranjeet dan sebaliknya memberikan ganti rugi khas yang perlu dibayar beliau kepada Zavarco Berhad berjumlah lebih RM29 juta.
Pada masa yang sama, mahkamah merekodkan pengisytiharan berasingan bahawa Ranjeet telah bertindak dalam cara yang memungkiri kewajipan obligasi-obligasi kontraktual, statutori peraturan, fidusiari undang-undang lazim mereka sebagai pengarah-pengarah eksekutif dan pengarah-pengarah Zavarco Berhad.
Untuk info, Ranjeet telah menubuhkan Zavarco plc di UK di bawah Akta Syarikat 2006 (CA2006) untuk tujuan dijadikan syarikat induk penyenaraian di suatu bursa saham Eropah kepada kumpulan Zavarco di Malaysia dengan objektif untuk mendapatkan pelaburan antarabangsa bagi pembangunan rangkaian telekomunikasi gentian optik di Malaysia.
Tertuduh dikatakan telah melakukan jenayah Pecah Amanah terhadap Zavarco Berhad. Seterusnya memfailkan rayuannya di Mahkamah Rayuan dan kemudiannya di mahkamah Persekutuan, di mana kedua-dua rayuan beliau ditolak sebulat suara dengan kos.