PUTRAJAYA: Menteri Luar Negeri yang baharu, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau mahu meneruskan agenda-agenda yang digagaskan dan digerakkan oleh kementerian dalam usaha melonjakkan martabat dan kedudukan Malaysia di arena antarabangsa.
Menurutnya, antara fokus utama yang akan diberi perhatian ialah meningkatkan status hubungan dua hala kepada tahap perkongsian strategik komprehensif, seperti mana yang dimeterai dengan Jepun baru-baru ini.
Selain itu, beliau juga mahu memastikan kesinambungan dasar domestik dan inisiatif kerajaan Madani serta memudah cara aktiviti perdagangan dan menarik pelaburan asing.
“Tugas berat menanti semua warga Wisma Putra untuk kita menjadi pengimbang bagi mengekalkan ‘equilibrium’ yang sedia terbina antara Malaysia dengan masyarakat antarabangsa dengan cuba mencari cara terbaik untuk mengekalkan prinsip Malaysia.
“Ia supaya terus menjadi negara yang berkecuali, negara yang bersahabat, mahukan perdamaian, mahu melihat hubungan antara negara menjadi lebih akrab dan mempertingkatkan hubungan sedia ada.
“Ini merupakan asas dan tugas tambah nilai yang perlu dilakukan di Wisma Putra untuk memastikan supaya keberadaan Malaysia dalam masyarakat antarabangsa akan terus terlihat dan menjadi sebahagian daripada anggota masyarakat antarabangsa yang aktif,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi sidang akhbar selepas sesi ‘clock in’ dan sesi taklimat daripada kepimpinan tertinggi Wisma Putra mengenai fokus dan keutamaan Kementerian Luar Negeri di sini hari ini.
Mohamad yang merupakan bekas Menteri Pertahanan dilantik sebagai Menteri Luar Negeri yang baharu menggantikan Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang bertukar portfolio ke Kementerian Pendidikan Tinggi.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, Malaysia akan terus memainkan peranan sebagai negara yang aktif sejak daripada dahulu dalam memperjuangkan isu Palestin.
“Pendirian Malaysia telah pun dinyatakan begitu tegas sekali dan itu lah pendirian tetap yang akan terus diguna pakai oleh Malaysia, jadi tidak timbul soal saya datang di Wisma Putra ini akan ada perubahan pendirian negara,” ujarnya. – UTUSAN