Tindakan terhadap peniaga letak kerusi, meja di Pantai Puteri

Tindakan terhadap peniaga letak kerusi, meja di Pantai Puteri

SEBUAH gerai jenis kabin yang diletakkan di kawasan parkir di Pantai Puteri, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan mengambil tindakan terhadap segelintir peniaga yang meletakkan meja dan kerusi di kawasan Pantai Puteri di sini, dalam masa terdekat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi berkata, ini kerana peringatan sudah diberi beberapa kali, namun mereka yang terlibat tetap tidak mengendahkannya.

Beliau mengakui, kawasan pantai itu tidak ubah seperti sebuah restoran, lantas menjejaskan kedatangan pelancong yang ingin berkelah dan berkhemah.

“Saya sudah maklumkan kepada peniaga terbabit pada pertemuan sebelum ini. Saya minta mereka tidak buka meja dan kerusi hingga menutup ruang pelancong yang datang.

“Tetapi mereka tetap buka, jadikan kawasan pantai macam restoran. Saya terima banyak aduan daripada pelancong yang datang ingin memasang khemah tetapi peniaga minta mereka berganjak ke tempat lain, sebab mereka hendak letak kerusi dan meja.

“Bukan itu sahaja, ada aduan saya terima daripada pelancong yang merungut kerana kawasan parkir terhad disebabkan ada peniaga meletakkan besi khemah dan gerai jenis kabin di lot parkir disediakan MBMB,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, tindakan peniaga membuka meja dan meletakkan kerusi di kawasan Pantai Puteri menyebabkan lokasi perkelahan itu menjadi sempit untuk pengunjung.

Tinjauan mendapati, pada waktu siang, mereka meletak meja dan kerusi di kawasan tumpuan pe­ngunjung bersantai terutama di bawah pokok ru.
Tuminah berkata, tidak ada kebenaran diberikan MBMB kepada peniaga untuk meletakkan meja dan kerusi sesuka hati di pantai itu.
“Apa yang merisaukan saya apabila tidak ada tindakan penguatkuasaan, nanti lebih ramai peniaga akan ambil kesempatan menjadikan kawasan pantai seperti sebuah restoran.

“MBMB juga dijangka mengambil tindakan terhadap peniaga yang masih berdegil meninggalkan besi khemah dan gerai jenis kabin di kawasan parkir,” tegasnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN