GOMBAK: Seorang lelaki etnik Rohingya yang juga ketua ‘Geng Rantau Fiesta’ masih tidak serik melakukan samun dan pecah rumah biarpun pernah ditahan sebelum ini.
Lelaki berusia 30-an itu yang pernah ditahan pada 2016 seolah-olah tidak gentar ditahan pihak berkuasa apabila melakukan jenayah sama sebaik sahaja bebas daripada penjara.
Malah, suspek bersama dua lagi rakan sejenayahnya yang juga memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) bertambah berani apabila menggunakan dua pucuk pistol jenis revolver dalam melakukan jenayah samun dan pecah rumah di enam negeri.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan berkata, kegiatan mereka bagaimanapun terbongkar selepas ketiga-tiga penjenayah itu ditembak mati setelah cuba menyerang anggota polis ketika melakukan pemeriksaan di Selayang Jaya, di sini, awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 malam itu, ketiga-tiga suspek yang menaiki kereta jenis Ford Fiesta itu dilihat dalam keadaan mencurigakan oleh anggota polis cegah jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.
Kata beliau, ketika pemeriksaan ingin dilakukan, suspek telah melepaskan tiga das tembakan ke arah polis.
“Rentetan itu, anggota terlibat telah melepaskan sekurang-kurangnya tujuh das tembakan sebelum ketiga-tiga penjenayah maut di lokasi kejadian.
“Anggota polis terlibat bernasib baik kerana tembakan yang dilepaskan penjenayah itu tidak terkena mana-mana anggota badan tetapi terkena pada kenderaan polis,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Kata Hussien, siasatan lanjut mendapati kumpulan itu berkemungkinan disertai tiga hingga empat orang.
Kata beliau, salah seorang suspek pernah ditahan pada 2016 dan apabila dia keluar, kumpulan ini telah aktif semula.
“Di Selangor, kita percaya kumpulan ini telah lakukan samun pecah rumah sebanyak 27 kes. Kes terbaharu di Batang Kali, Hulu Selangor melibatkan kehilangan tiga utas jam Rolex dan dua utas jam Hublot bernilai RM445,000 pada 8 Disember lalu.
“Mereka juga dipercayai terbabit dalam kira-kira 20 kes samun dan pecah rumah di enam negeri termasuk Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur, Pahang dan Pulau Pinang dengan menggunakan senjata api,” katanya.
Hussien berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan saki-baki ahli kumpulan berkenaan dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata. – UTUSAN