PUTRAJAYA: Pendidikan karakter, penekanan literasi dan numerasi serta kelas pembelajaran bersepadu merupakan tiga pendekatan baharu yang akan diperkenalkan dalam kurikulum persekolahan 2027.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kurikulum baharu itu akan dilaksanakan secara berperingkat bermula dengan Tahun 1 dan Tingkatan 1 pada 2027, manakala bagi murid prasekolah diperkenalkan setahun lebih awal iaitu pada 2026.
Menurutnya, reka bentuk kurikulum 2027 bakal menggabungkan kurikulum berasaskan standard dan berorientasikan kompetensi yang menggalakkan pembelajaran aktif murid, menyediakan pengalaman pembelajaran dan penilaian yang lebih autentik serta bermakna.
“Berdasarkan aji selidik awal yang dilaksanakan bersama responden-responden menyatakan hasrat dan aspirasi mereka ingin melihat kurikulum 2027 akan datang itu benar-benar mencapai maksud.
“Dalam konteks anak-anak pula, ia diperkukuhkan dari segi pendekatan pendidikan karakter dan juga elemen-elemen yang berkait rapat dengan kemahiran,” katanya dalam sidang akhbar selepas program Bicara Profesional Kementerian Pendidikan (KPM) Kurikulum Persekolahan 2027 di sini hari ini.
Dalam pada itu, menerusi ucapannya, Fadhlina berkata, pembentukan karakter yang dihasratkan adalah berteraskan prinsip Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang memberi penekanan kepada pembangunan diri murid berdaya tahan, tangkas, memiliki kesedaran sivik tinggi dan mentaliti pertumbuhan.
Katanya, ia akan dilaksanakan sebagai satu slot masa khusus dan berfokuskan kepada pembelajaran sosioemosi secara amali bermula dari prasekolah sehingga ke peringkat menengah atas.
“Malah, untuk memberikan makna kepada kehidupan sebagai warganegara yang bertanggungjawab, pendidikan karakter juga akan diterapkan dalam konteks pembinaan karakter bangsa Malaysia,” ujarnya.
Selain itu, katanya, KPM komited dalam memastikan murid menguasai literasi asas membaca, menulis dan mengira (3M) seawal mungkin bagi membolehkan mereka bersedia mengikuti pembelajaran pada tahap seterusnya.
Katanya, intervensi awal akan diberikan bagi membantu murid yang menghadapi masalah menguasai kemahiran itu sebelum murid berpindah ke Tahap 2 dan Tahap 3.
Tambah beliau, satu slot masa khusus juga akan diperuntukan bagi Kelas Pembelajaran Bersepadu yang akan diperkenalkan bermula di sekolah rendah dengan menggabungkan isi kandungan dan kemahiran dari pelbagai disiplin ilmu.
“Murid akan belajar mengaplikasi pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam satu pengalaman pembelajaran yang holistik, bermakna, relevan dan berhubung kait dengan dunia sebenar.
“Maka, pentaksiran akan dilaksanakan secara berterusan sebagai sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran. Slot pembelajaran ini akan dimasukkan dalam jadual waktu bagi membolehkan pelaksanaan lebih terstruktur dan lebih berkesan,” katanya.
Mengenai pentaksiran, Fadhlina berkata, kurikulum 2027 akan memperkasa pelaksanaan pentaksiran bilik darjah yang bertujuan mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid dan bagaimana pengajaran dan pembelajaran diubah suai bagi meningkatkan tahap penguasaan murid.
“Guru akan menilai proses pembelajaran yang dilalui oleh murid secara holistik bagi membantu murid meningkatkan keupayaan dan potensi mereka dalam tugasan yang diberi.
“Tumpuan tidak lagi diberikan kepada hasil tugasan semata-mata. Dengan cara ini, proses pengajaran dan pembelajaran akan lebih fleksibel, menyeronokkan dan bermakna bagi guru dan murid,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi memudahkan guru memberi fokus pembelajaran sejajar dengan kematangan usia murid, tahap persekolahan dan fokus kurikulum turut disusun semula.
Jelasnya, pendidikan rendah akan dibahagikan kepada tiga tahap iaitu Tahap 1 membabitkan murid Tahun 1 dan Tahun 2, Tahap 2 (Tahun 3 dan Tahun 4) dan Tahap 3 (Tahun 5 dan Tahun 6).
“Elemen-elemen dalam kurikulum baharu ini akan dibincangkan, dibahaskan, diperincikan, dan diulaskan secara tuntas melalui Program Jelajah Pendidikan Masa Hadapan dan sesi libat urus yang bersasar dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN