GEORGE TOWN: Tiga sekeluarga mengalami sesak nafas selepas rumah mereka di tingkat 10 sebuah flat di Air Itam, di sini terbakar malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.59 malam itu, seorang ibu dan dua anak lelakinya berusia 40-an dan 66 tahun diselamatkan penduduk sebelum diberikan rawatan awal oleh pasukan bomba.
Ketiga-tiga mereka kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Zaini Zainuddin berkata, kebakaran itu berlaku di sebuah flat di Jalan Semarak Api I, Medan Angsana, Air Itam di sini.
“Ketiga-tiga mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut dan eadaan mereka setakat ini stabil.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah flat kelas A dengan anggaran peratusan kemusnahan 60 peratus.
“Kerja-kerja pemadaman turut dibantu oleh pasukan bomba sukarela dan balai berhampiran,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, pihak bomba membuat ‘size up’ dan menjalankan kerja-kerja pengawalan dan pemadaman serta penyelamatan.
”Kebakaran dapat dikawal pada pukul 10.34 malam dan api padam sepenuhnya pada 10.45 malam.
“Pasukan bomba telah menjalankan kerja-kerja ‘overhaul’ bagi memastikan tiada faktor bahaya lain dan operasi ditamatkan pukul 11.17 malam,” katanya.
Tambahnya, lokasi diserahkan kepada pegawai penyiasatan kebakaran (FIO) untuk tindakan selanjutnya. – UTUSAN
KEADAAN unit kediaman yang dihuni tiga beranak di Air Itam, George Town, Pulau Pinang, yang terlibat dalam kebakaran malam tadi. – Pic: IHSAN BOMBA