Tiga anggota polis didakwa terlibat kes curi RM85,000 dituduh hari ini

Tiga anggota polis didakwa terlibat kes curi RM85,000 dituduh hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiga anggota polis yang dipercayai terlibat kes kecurian wang tunai berjumlah RM85,000 dalam operasi khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Lebuh Pudu dekat sini Khamis lalu, akan dituduh hari ini.

Difahamkan, ketiga-tiga anggota berusia 26 hingga 35 tahun itu akan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Mengesahkan kepada Utusan Malaysia, sumber berkata, kesemua mereka akan dituduh pada pukul 9 pagi ini.

“Ketiga-tiga anggota polis akan dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur,” katanya di sini hari ini.

Selasa lalu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ketiga-tiga anggota itu disambung reman selepas tempoh reman tamat pada 26 Disember lalu.

Tegas beliau, polis tidak akan melindungi terhadap mana-mana anggota dan pegawai yang ditomah berkaitan apa-apa dakwaan.

Ahad lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid mengesahkan tiga anggota direman empat hari bagi membantu siasatan dalam kes curi duit RM85,000 dalam operasi khas PDRM di Lebuh Pudu dekat sini, Khamis lalu.

Allaudeen dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan pada 12.36 tengah malam pada 22 Disember lalu berkaitan kehilangan wang tersebut.

Susulan itu, katanya, seramai tiga anggota polis berusia lingkungan 26 tahun hingga 35 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut ditahan.

Jumaat lalu, tular laporan polis berkaitan kes kehilangan wang RM85,000 didakwa dicuri anggota polis yang terlibat dalam operasi tersebut daripada sebuah premis di Lebuh Pudu dekat sini.

Laporan itu menyatakan pemilik premis iaitu warga tempatan berusia 36 tahun mendakwa semasa berada di kedainya pada 21 Disember lalu mendapati wang tunai hasil jualan milik Syarikat berjumlah RM85,000.00 yang disimpan dalam almari telah hilang.

Laporan itu mendakwa pemilik premis kemudian telah membuat semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis mendapati tiga lelaki berpakaian celoreng polis telah memasuki premisnya.

Laporan itu mendakwa, melalui penelitian CCTV turut memaparkan kelibat ketiga-tiga lelaki memasuki premis tersebut dan telah melakukan penggeledahan.

Laporan mendakwa, soal siasat awal kepada ketiga-tiga mereka mengaku mengambil duit tersebut di dalam almari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN