PUCHONG : Melewati dua tahun setengah perjalanan kes saman fitnah Siti Nordiana, tiga sekawan, Lan Solo, Syura dan Sheila Hassim meluahkan rasa lega kerana kedua-dua belah pihak telah saling bermaaf-maafan sekali gus menyaksikan saman yang difailkan telah dilupuskan.
Peguam yang mewakili mereka, Azlan Abdul Razak berkata, Lan, Syura dan Sheila juga bersetuju mengadakan satu sidang media semalam bagi menjelaskan situasi serta mengulas mengenai keputusan yang dicapai secara bersama kelmarin.
“Tujuan sidang media semalam diadakan ialah bagi membetulkan persepsi awam berhubung kes yang berlangsung sejak 2021 dan bukan untuk mengkritik mana-mana individu.
“Kes ini sudah lupus (selesai) dan semua boleh meneruskan kehidupan seperti biasa tanpa perlu naik turun mahkamah,” katanya.
Selain itu, Azlan berkata, keputusan yang dicapai itu berdasarkan tiga terma yang dipersetujui kesemua pihak defendan dan plantif iaitu tiada apa-apa pengakuan siapa betul atau salah kerana masing-masing sudah setuju untuk meminta maaf dan memaafkan.
Kedua, katanya, plaintif tidak mempunyai kebebasan untuk failkan semula perintah atau tidak boleh failkan semula kes ini di atas dasar yang sama manakala ketiga, tiada sebarang perintah mahkamah untuk mana-mana pihak membuat sebarang pembayaran dan kos.
Sementara itu, Lan berkata dia dan rakan-rakannya menyambut baik keputusan yang dicapai semalam dan meneruskan hidup serta kerjaya seni masing-masing.
“Alhamdulillah semua sudah selesai dan memang ini yang kami cadangkan sejak peringkat awal semasa proses mediasi namun tidak mencapai kesepakatan ketika itu,” katanya.
Syura pula menambah, pihak mereka sentiasa bersedia untuk memohon maaf dan mengakui kekhilafan yang berlaku.
“Cuma apabila ada pembayaran yang terlalu tinggi dituntut membuatkan kami terpaksa teruskan ke mahkamah,” katanya.
Lan dan Syura juga mengakui, sidang media itu turut diadakan bagi menjelaskan kepada semua pihak selepas mereka akur dengan arahan peguam untuk tidak membuat sebarang kenyataan sepanjang lebih dua tahun kes berlangsung.
Kes saman fitnah RM2.5 juta dikemukakan penyanyi Siti Nordiana Alias terhadap lima sekawan iaitu penyanyi Lan Solo atau nama sebenarnya, Mohd. Razlan Mohamed Yusof, 38, isterinya, Nur Sheila Hassim, 38, serta penyanyi Syura atau Zuraidah Badron, 37.
Dua lagi ialah Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 45, dan jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi, 43.