Tiada program hiburan melalaikan sempena ambang tahun baharu di Perlis - Utusan Malaysia

Tiada program hiburan melalaikan sempena ambang tahun baharu di Perlis

MOHD. SHUKRI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Sebarang program hiburan berbentuk nyayian dan tarian melalaikan sewaktu sambutan ambang tahun baharu di Perlis tidak digalakkan untuk dianjurkan bagi menghormati penderitaan rakyat Palestin.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, cadangan itu selepas melihat perkembangan semasa di mana isu berkaitan Palestin ini semakin dipandang sepi banyak pihak.

“Ini menunjukkan kita serius dan terus menyokong bersolidariti kepada rakyat Palestin.

“Jenayah dan kekejaman rejim Israel sudah berlarutan sejak sekian lama malah ia masih dipandang sepi tanpa ada sebarang solusi yang kukuh dari kuasa dunia bagi menghentikan konflik ini.

“Hari ini, kekejaman masih berlanjutan di Semenanjung Gaza dan menyebabkan pembunuhan besar-besaran tanpa ada belas ihsan terutamanya kepada golongan yang tidak berupaya, wanita, warga emas malah kanak-kanak turut menjadi mangsa.

“Sehingga kini lebih 15,000 rakyat Palestin yang syahid, 37,000 cedera dan 6,500 hilang di bawah runtuhan bangunan,” katanya sewaktu mengemukakan usul mengutuk serangan tidak berperikemanusiaan rejim Israel terhadap penduduk Palestin di Semenanjung Gaza dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

DUN Perlis sebulat suara meluluskan usul mengutuk serangan tidak berperikemanusiaan rejim Israel terhadap penduduk Palestin di Semenanjung Gaza.

Terdahulu, usul tersebut dikemukakan oleh Mohd Shukri dan disokong oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Asrul Aimran Abd Jalil.

Dalam pada itu, Mohd. Shukri berkata, setiap pihak perlu menolak idea penyelesaian dua negara (two state solution) berikutan langkah itu tidak mampu menyelesaikan isu yang berlanjutan ini.

Katanya, Israel tidak diiktiraf sebagai sebuah negara yang sah malah berdasarkan kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin, pihak berkenaan hanyalah merupakan rejim yang melakukan jenayah dunia.

“Anak-anak lelaki Palestin baru-baru ini ditangkap dan disoal siasat oleh tentera Israel malah lebih 300 buah sekolah turut terjejas serta tidak dapat beroperasi,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya