SEREMBAN: Tiada sebarang perkembangan mengenai peruntukan buat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang dari Perikatan Nasional (PN) dari kerajaan Negeri Sembilan sehingga kini.
Ketua Pembangkang yang juga ADUN Gemas, Ridzuan Ahmad berkata, beliau ada mengutus surat rasmi untuk kesemua lima orang ADUN pembangkang di negeri ini untuk bertemu Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun pada 11 Oktober lalu.
Namun begitu jelas beliau, setakat ini tiada sebarang balasan di pihak Menteri Besar.
“Semasa ucapan dalam sesi perbahasan Belanjawan Negeri Sembilan 2024 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini juga saya ada buat permohonan (mengenai peruntukan) tiada respon di pihak Menteri Besar semasa ucapan penggulungan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau dalam pada itu meminta supaya Aminuddin melihat contoh kerajaan Pulau Pinang dan Perak yang tetap memberikan peruntukan pengurusan kepada ADUN-ADUN dari PN malah di Perlis dan Kedah juga peruntukan diberikan kepada ADUN dari Pakatan Harapan (PH).
“Bagaimanapun kami reda dengan apa juga keputusan Menteri Besar, mungkin selepas ini jika kami pula menjadi pemimpin kerajaan negeri, kami perlu lakukan sesuatu untuk menjaga semua ADUN,” katanya lagi.
Sementara itu, ADUN Paroi, Kamarol Ridzuan Mohd. Zain pula berkata, jika tiada peruntukan untuk ADUN pembangkang seolah-olah telah menafikan hak rakyat di negeri ini.
“Rakyat mengundi wakil rakyat kawasan bagi membantu mereka yang memerlukan, tetapi jika peruntukan pun tidak diberi bagaimana wakil rakyat ngin menghulurkan bantuan.
“Sungguhpun begitu, kami (wakil rakyat pembangkang) tetap berusaha dalam cara apa sekalipun mencari dana dan sumbangan bagi membantu rakyat.
“Kami memang berharap agar kerajaan negeri dan Menteri Besar, mendengar keluhan kami dan tidak sewenang-wenangnya menafikan hak rakyat,” katanya lagi yang merupakan Yang Dipertua Pas Rembau.
Selepas pilihan raya negeri pada bulan Ogos lalu, gabungan kerjasama parti PH dan Barisan Nasional (BN) berjaya memenangi 31 daripada 36 buah kerusi DUN sekali gus membentuk Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan.
Baki lima buah kerusi DUN lagi iaitu Labu, Gemas, Serting, Bagan Pinang dan Paroi dimenangi oleh PN.-UTUSAN