Tiada kuota, kaum lain bebas sertai TUDM - Utusan Malaysia

Tiada kuota, kaum lain bebas sertai TUDM

Kaum TUDM
MOHD. Asghar Khan Goriman Khan berucap pada Anugerah Kecemerlangan TUDM 2023 di Pangkalan Udara TUDM Subang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tidak menetapkan sebarang kuota bagi kaum bukan Melayu terutama golongan belia menyertai pasukan keselamatan itu.

TUDM secara puratanya menerima lebih 50,000 permohonan bagi empat sesi pemilihan anggota pelbagai pangkat setiap tahun.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan berkata, pihaknya masih membuka penyertaan kepada pemohon yang berstatus warga negara dan menepati syarat ditetapkan tanpa mengira kaum atau bangsa.

“Pemerhatian kita mendapati pemohon yang turut meliputi kaum bukan Melayu itu mencatatkan sedikit peningkatan berbanding sebelum ini.

“Justeru, saya menekankan bahawa kita tidak meletakkan sebarang kuota malah amat menggalakkan mereka menyertai TUDM,” katanya pada sidang akhbar selepas  menyempurnakan Hari Anugerah Kecemerlangan TUDM 2023, hari ini.

Menurut Mohd. Asghar Khan, statistik pihaknya mendapati kira-kira 12 peratus daripada 15,000 anggota TUDM terdiri daripada kaum bukan Melayu.

“Kita sedang dan akan terus berusaha melaksanakan pelbagai promosi kerjaya sama ada di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT). Hasrat kita mahu menggalakkan lagi penyertaan semua kaum dalam perkhidmatan ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kebanyakkan pemohon tidak memenuhi syarat dan kriteria asas yang ditetapkan untuk menyertai TUDM. 

“Ia antaranya melibatkan aspek pencapaian akademik, status kesihatan dan fizikal.

“Kita sebagai pasukan angkatan tentera yang mengendalikan peralatan persenjataan berteknologi tinggi memerlukan pegawai dan anggota yang mempunyai tahap akademik, kecergasan fizikal dan mental yang tinggi,” jelasnya.

Tambah Mohd. Asghar, pihaknya tidak berkompromi terhadap syarat dan kriteria pemilihan pegawai dan anggota. 

“TUDM mementingkan kualiti daripada kuantiti dalam memastikan pengoperasian kuasa udara terlaksana secara optimum,” katanya.

“Kita akan meneruskan perancangan yang telah digariskan dalam Pelan Pembangunan

Keupayaan TUDM 2055 sebagai angkatan udara yang disegani di peringkat serantau dan global,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN