Tiada jalan pintas, saya mula dari bawah - Syazani Zikry - Utusan Malaysia

Tiada jalan pintas, saya mula dari bawah – Syazani Zikry

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUNGKIN persepsi segelintir pihak, jalan untuk pelakon baharu, Syazani Zikry menongkah arus industri seni ini mudah. Keluarganya berduit, jadi apalah sangat kalau mahu taja sana sini.

Tetapi Syazani dari awal menyangkal persepsi. Baginya, tiada jalan pintas, tiket ekpress mahupun laluan mudah untuk dia menempa nama. Semuanya harus bermula dari bawah, tiada akses lain.

“Saya tahu, ada yang anggap saya guna kabel untuk mudah dapat tawaran dalam industri seni. Tetapi hakikatnya tidak ada. Saya tetap seperti pendatang baharu lain. Perlu jalani uji bakat dan proses pemilihan.

“Lagipun saya tidak datang dari keluarga seni. Ibu bapa saya pun bukan penggiat industri ini. Ayah saya seorang usahawan yang menjalankan perniagaan keluarga. Tak ada kena mengena pun dengan seni.

“Tetapi saya tak salahkan orang pun. Biasalah, ada sahaja persepsi datang dari mana-mana. Ini adalah cabaran untuk saya. Membuktikan bakat supaya dapat membunuh dakwaan tidak benar itu,” ujarnya.

Mengakui kerja keras sahaja tidak mencukupi untuk berjaya dalam industri seni, anak muda berusia 25 ini perlu mencari identiti dan kekal dengan peribadi disenangi supaya dapat terus relevan.

Baginya tiada keperluan untuk menyombong apatah lagi menganggap diri sudah terlalu bagus. Setiap pelakon perlu berusaha memperbaiki diri dan belajar daripada setiap pengalaman baik atau buruk.

“Bergelar anak seni ini, kita perlu terima hakikat yang hidup ini akan sentiasa didatangi pujian dan kecaman. Kritikan itu pasti ada, cuma bagaimana kita mahu menghadapinya dengan positif dan tenang.

“Kalau hendak fikir tentang kecaman, memang boleh sakit kepala. Zaman sekarang ini, semua benda boleh dijadikan bahan kritikan. Kurus salah, gemuk salah. Kacak salah, tak kacak pun salah ,” kongsinya.

MENANTI TAYANGAN 4 FILEM

Ditanya tentang perkembangan kerjaya seni, anak bongsu dari dua beradik ini teruja kerana empat filem lakonannya bakal ditayangkan tahun depan. Namun dia akui, penantian itu mencipta debaran.

Mana tidaknya, filem pertama yang ditayangkan Sazali Meor Coco sejak 16 November lepas menerima reaksi positif daripada penonton. Walaupun hasil kutipan tidak semeriah filem lain, tetapi impaknya tetap ada.

“Tiga tahun dalam industri seni dengan lima filem, saya fikir itu satu pencapaian yang membanggakan. Tetapi saya tak boleh bersenang-senang. Kena terus usaha, sebab nama belum dikenali.

“Gementar sebenarnya menantikan empat lagi filem. Dua daripadanya, Ceroboh dan Kabus menampilkan saya sebagai teraju utama,” katanya.

Tidak hanya berlakon, Syazani juga merupakan seorang penerbit dan pernah menggenggam trofi Festival Filem Malaysia edisi ke 32 menerusi Anugerah Filem Pendek Terbaik dengan karya Can You Love Me Most?

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya