JIKA kita menoleh kembali ke belakang, sudah ada beberapa filem tempatan yang diarahkan daripada sutradara luar seperti karya-karya Kabir Bhatia juga The Garden of Evening Mists arahan Tom Shu Yu Lin, serta filem MagiK dan Nota kedua-duanya daripada pengarah sama iaitu Yasu Tanaka.
Namun begitu, Ini adalah kali pertama kita menerima air tangan daripada Lee Moon Ho, seorang pengarah asal Korea Selatan yang menghasilkan The Lord Musang King (TLMK).
Walaupun Lee pernah menghasilkan beberapa naskhah sebelum ini, namun TLMK adalah filem pertama hasil karyanya yang saya tonton.
Lee menjenamakan TLMK sebagai sebuah filem aksi menampilkan Yusuf Bahrin sebagai pelakon taruhnya. Saya pernah memerhatikan lakonan Yusof dalam beberapa drama sebelum ini.
Namun, TLMK berjaya mengorek sisi lain lakonan Yusof yang tidak pernah dicungkil mana-mana pengarah sebelum ini. Bagi filem pertamanya, saya merasakan Yusof memberikan ekspresi yang baik daripada cara pandangan, pergerakan tangan, ketar suara serta pemilihan gerak badan bagi menjelmakan watak Haikal.
Selain Yusof, mungkin lakonan yang layak mendapat pujian ialah watak sampingan ketua samseng banduan di dalam penjara. Malangnya, tidak dapat saya pastikan siapakah nama pelakon tersebut namun cukup mengesankan.
Walaupun saya menyukai visual, set skor muzik, tempat letak subjek dalam bingkai kamera serta warna filem ini, namun saya suka untuk membincangkan inti cerita atau plot keseluruhan filem ini.
Walaupun TLMK mempunyai struktur filem yang jelas namun saya berpendapat dialog dan perjalanan ceritanya sederhana sahaja. Tidak hanya lakonan Harissa yang kaku, malah dialognya juga kedengaran seperti buku teks. Ia tidak sampai kepada saya di kerusi penonton.
Selain itu, penonton mungkin keliru bagaimana bahasa Korea boleh difahami dengan mudah oleh banduan yang ada dipenjara. Saya merasakan perlu ada sesuatu yang boleh menghubungkan senario ini.
MOMENTUM HAIKAL, DONGHYUK
DONGHYUK Saya suka ketika Kwak Donghyuk ditampilkan pertama kali di skrin dengan sangat berkarisma. Malangnya, momentum persahabatannya bersama Haikal tiba-tiba mati di act 2 sedangkan sekiranya mereka kekal sebagai duo hingga ke akhir, filem ini akan lebih menyayat dan memberikan perasaan berbeza.
Sekiranya peranan duo ini dibesarkan, kita dapat melihat bagaimana Haikal yang kacak dalam standard kecantikan lelaki nusantara boleh bersahabat baik dengan lelaki jambu asal Korea ini walaupun perkenalan mereka lahir daripada sebuah tragedi.
Mungkin bajet filem ini kecil, oleh itu act 3 terasa seperti ingin cepat habis. Malangnya, watak menarik seperti Jianna lakonan Kim Bo Yeon tidak digunakan sebaiknya.
Namun begitu, adegan hentakan durian di tangan Jianna sangat ganas dan bijak namun peliknya, Bo Yeon tidak berkerut sedikit pun atau paling tidak, matanya bergenang kerana menahan kepedihan.
Ketika menonton The Lord Musang King, sukar untuk tidak terkenang atau membandingkan naskhah ini dengan filem aksi Malaysia lainnya.
TLMK mempunyai kelebihan dari aspek komoditi budaya, namun dari segi plot dan aksi, kita ada filem yang pernah setanding ini. Walaupun begitu TLMK tetap naskhah yang menyeronokkan untuk ditonton.