KUALA LUMPUR: ‘Tolong hubungi abang atau kakak saya.’
Itu pesanan di dalam nota yang ditinggalkan bersama mayat yang ditemukan di tapak jualan but kereta di Damansara, dekat sini semalam.
Penemuan mayat yang sudah berbau di dalam kereta itu mengejutkan para pengunjung jualan berkenaan dan tular dalam laman media sosial.
Menerusi klip video yang tular, pengunjung menyedari terdapat mayat di tempat letak kereta berkenaan selepas menghidu bau busuk dari dalam sebuah kereta.
Seorang pengunjung berkata, sebaik sahaja turun daripada keretanya, dia sudah boleh menghidu bau mayat tersebut.
Mayat berkenaan dipercayai sudah empat hari di situ sebelum ditemukan pengunjung.
“Ada yang kata (sudah) empat hari dia (mayat) mati di dalam kereta. Di situ (adalah) kawasan pejabat dan kedai. Jadi mungkin (disebabkan hari) cuti (menyebabkan) tidak ramai orang (berada) di kawasan berkenaan.
“Pagi semalam ada jualan but kereta dan orang ramai jumpa sebab hidu bau busuk,” katanya menerusi satu ciapan di aplikasi X.
Sementara itu, Utusan Malaysia difahamkan mayat tersebut ditemukan bersama satu nota yang meminta orang ramai yang menemukannya untuk menghubungi ahli keluarganya. – UTUSAN