HULU TERENGGANU: Kerajaan Terengganu menyasarkan kehadiran seramai 4.5 juta pelancong tempatan dan luar negara ke negeri ini pada tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris berkata, jumlah sasaran tersebut lebih tinggi berbanding
catatan kedatangan lebih 3.5 juta pelancong tahun ini.
Menurutnya, sasaran itu mampu dicapai memandangkan pertumbuhan ekonomi negara didapati sedikit pulih berbanding pada tahun ini, di samping kerajaan negeri telah memulakan promosi bagi menarik lebih ramai pelancong dari luar negara termasuk Timur Tengah.
Katanya, promosi pelancongan di luar negara sebelum ini lebih tertumpu di Eropah dan China.
“Kita hendak ramaikan pelancong Muslim datang ke negeri Terengganu kerana kita hendak tunjukkan bahawa kita mesra Muslim dan mesra syariah.
“Statistik yang baru juga menunjukkan pelancong dari negara China yang beragama Islam ramai datang ke negeri ini pada tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah International Monsoon Casting Tournament (IMCT) 2023 di Kenyir Geopark, dekat sini, hari ini.
Seramai 250 peserta menyertai IMCT edisi ke-14 termasuk dari Amerika Syarikat, Jepun, Singapura, China dan Thailand.
Razali memberitahu, kerajaan negeri juga merancang memperbanyakan aktiviti pelancongan untuk menarik lebih ramai pengunjung pada sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL), tahun hadapan.
Jelasnya, program pelancongan itu diperkenalkan untuk menukar persepsi tidak boleh dikunjungi pada musim tengkujuh.
antara November hingga Disember.
Katanya, penganjuran IMCT yang diadakan secara tahunan ini juga merupakan salah satu aktiviti musim tengkujuh di Tasik Kenyir.
“Program Pesta Maing Ujang di Setiu Wetland
yang baru diperkenalkan tahun ini juga menunjukkan kejayaan,” katanya. – UTUSAN