Teraju distruktur semula, tingkat skala pasaran syarikat bumiputera 

Teraju distruktur semula, tingkat skala pasaran syarikat bumiputera 

RAFIZI Ramli pada program SUPERB Networking Day 2023 di Cyberjaya. - UTUSAN/MOHD HUSNI MOHD NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) akan distrukturkan semula supaya peranannya lebih terarah dalam meningkatkan skala pasaran syarikat bumiputera.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kementeriannya kini sedang menyelaraskan kembali fungsi Teraju dalam keseluruhan agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera.

Beliau berkata, usaha itu penting bagi memastikan Teraju betul-betul fokus dan peranannya tidak bertindih dengan agensi-agensi kerajaan lain.

“Proses ini (penstukturan) juga penting kerana ia sebahagian daripada persediaan kepada dasar baharu mengenai bumiputera yang akan dibentangkan pada Kongres Ekonomi Bumiputera tidak lama lagi.

“Kita lihat rekod Teraju sejak daripada penubuhannya pada 2011, Teraju ada peranan pelbagai dalam memacu ekosistem ekonomi bumiputera,” katanya ketika ditemui pada program SUPERB Networking Day 2023 di sini, hari ini.

Rafizi berharap Teraju dapat memainkan peranan utama dalam meningkatkan skala pasaran syarikat bumiputera tidak hanya di pasaran tempatan, sebaliknya ke pasaran serantau dan antarabangsa.

Beliau berkata, beliau melihat skala perniagaan usahawan bumiputera sukar untuk berkembang dan berada pada satu tahap sahaja.

“Salah satu masalah utama dalam ekonomi kita, ada banyak syarikat tapi berada di peringkat itu sahaja. Malah, untuk naik daripada saiz mikro atau kecil nak ke sederhana pun payah. Apa lagi nak jadi sederhana kepada besar.

“Jadi, Kementerian Ekonomi kini sedang bekerjasama dengan Teraju untuk membina kepakaran (meningkatkan skala pasaran usahawan) supaya syarikat bumiputera terus berkembang. Kita sedang membangunkan acuan dan program khusus bagi tujuan itu,” katanya.

Katanya, acuan dan program khusus itu akan diumumkan dalam tempoh beberapa bulan akan datang dan sebahagiannya dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Kongres Ekonomi Bumiputera nanti.

Ditanya sama ada syarikat bumiputera sedia ada di bawah Teraju akan menerima manfaat baharu itu, Rafizi berkata, syarikat berkenaan akan menjadi sasaran utama, namun ia akan dibuka kepada semua syarikat yang sudah bertapak di pasaran.

“Kita beri ruang sepenuhnya kepada mana-mana usahawan bumiputera yang berdaya maju asalkan mereka mempunyai produk bagus, ada potensi untuk diskalakan dan diterima oleh pasaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya