KUANTAN : Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli berangkat melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Fakeh Abdul Samad, di sini hari ini.
Dalam lawatan tersebut, baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada 76 mangsa yang ditempatkan di PPS terbabit.
Baginda berkenan meluangkan masa sekitar 30 minit menyantuni mangsa di pusat pemindahan itu.
Sementara itu, salah seorang mangsa, Hisamudin Abu Bakar, 54, merakamkan penghargaaan dan menjunjung kasih atas kurniaan yang disampaikan sekali gus membantu meringankan beban yang ditanggung dia sekeluarga.
Katanya, ini merupakan kali kedua dalam tahun ini dia sekeluarga terpaksa berpindah ke PPS berikutan rumahnya yang terletak di Kampung Gudang Rasau dilanda banjir.
“Sudah hampir 20 tahun saya duduk di kampung ini dan boleh dikatakan setiap tahun rumah kami dilanda banjir.
“Apabila tiba musim tengkujuh, kami sudah mula melakukan persiapan dengan mengemas barang-barang penting dan diletakkan di tempat yang lebih tinggi.
“Bila melihatkan keadaan hujan lebat berterusan, kami sudah jangka air akan naik dan hanya menunggu masa untuk diselamatkan dan ditempatkan di PPS,” ujarnya yang ditempatkan di PPS sejak semalam bersama isteri dan anak tunggalnya.
Isteri Hisamudin, Rafidah Abu Bakar, 46, pula berkata, tiada kerugian besar yang dialami mereka sekeluarga kerana mereka sudah bersedia dengan kemungkinan banjir yang sering berlaku.
“Kami memang sudah bersedia dan sudah letakkan barang berharga di tempat selamat. Cumanya sedikit penat kerana setiap kali banjir perlu membersihkan lumpur yang memasuki rumah,” katanya. – UTUSAN