Tapak Pelupusan Sanitari Rimba Mas mampu bertahan 13 tahun lagi - Utusan Malaysia

Tapak Pelupusan Sanitari Rimba Mas mampu bertahan 13 tahun lagi

ASRUL Aimran Abd Jalil
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Tapak Pelupusan Sanitari Rimba Mas dijangka mampu menampung sisa pepejal seluruh negeri ini sehingga tahun 2036 dengan kapasiti purata sampah diterima setiap hari antara 150 hingga 200 tan metrik.

Berikutan itu, tiada sebarang isu berbangkit mengenai keadaan tapak pelupusan itu semakin padat memandangkan ia masih mampu bertahan bagi menampung sisa pepejal yang dibuang penduduk negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, tapak pelupusan itu boleh diperluaskan lagi sekiranya terdapat peningkatan sisa pepejal yang dibuang dalam tempoh tersebut.

“Seiring itu, kerajaan negeri juga akan terus terbuka menyokong cadangan-cadangan memajukan Tapak Pelupusan Sanitari Rimba Mas daripada Kerajaan Persekutuan selaras dengan perkembangan teknologi semasa seperti menjadikan tapak ini ke arah Waste to Energy (WTE) dan Waste Eco Park (WEP) pada masa hadapan,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, di sini, hari ini.

TAPAK Pelupusan Sanitari Rimba Mas dijangka mampu bertahan untuk tempoh 13 tahun lagi bagi menampung sisa pepejal yang dibuang di negeri ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD

Asrul berkata demikian bagi menjawab pertanyaan dibangkitkan oleh Saad Seman (Chuping-PN) berhubung perancangan kerajaan negeri mengatasi masalah pembuangan sampah dengan tempat pelupusan sedia ada yang semakin padat.

Dalam pada itu, Asrul berkata, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) telah dipertanggungjawabkan untuk memantau Tapak Pelupusan Sanitari Rimba Mas bagi melupuskan semua sisa yang dijana di negeri ini.

“Tapak pelupusan ini adalah hak milik Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) manakala segala operasi dan kawal selia adalah dilaksanakan oleh pihak SWCorp,” katanya.

Di samping itu, Asrul berkata, kerajaan negeri juga telah membuat perancangan awal bagi mengatasi masalah pembuangan sampah yang dianggap semakin bertambah padat dengan memperluaskan projek kutipan sampah di Kawasan Kampung Fasa Tiga.

Beliau berkata, dengan adanya projek kutipan sampah di Kawasan Kampung Fasa Tiga ini, kerajaan negeri menyasarkan tong sampah secara berpusat di lokasi-lokasi terpilih akan semakin berkurang sehingga keperluan penggunaannya secara berpusat juga adalah sifar.

“Sehingga kini, terdapat 439 unit tong pusat yang disediakan bagi kegunaan penduduk-penduduk kampung yang diletakkan di jalan-jalan utama seluruh negeri Perlis,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya