Tak salah isteri tegur, kalau suami buat silap - Utusan Malaysia

Tak salah isteri tegur, kalau suami buat silap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDAKWAH selebriti, Syed Mohd Bakri Syed Ishak berkata, sikap mujahadah dan itqan (komited) penting bagi memastikan azam yang dipasak setiap tahun dapat direalisasikan ke dalam kehidupan seharian. 

Sekiranya sikap tersebut tidak ditanam dalam diri, jelasnya, nilai keazaman tidak akan tercapai sekaligus menyebabkan azam sama berlegar pada setiap tahun. 

“Contoh tahun ini, kita berazam untuk solat berjemaah di masjid. Namun, tiada usaha dilakukan ke arah itu, masih kekal dengan kemalasan. 

“Sedangkan mujahadah atau melawan nafsu adalah jihad paling besar dalam Islam. Selagi mana kita kalah dengan godaan syaitan, selagi itu keazaman tidak berlaku. 

“Sama juga dalam pekerjaan, kita berazam untuk naik pangkat atau bekerja lebih bagus daripada tahun lepas. Semuanya menuntut mujahadah iaitu berlawan dengan diri sendiri untuk menjadi lebih baik,” katanya kepada Seri. 

Syed Mohd Bakri yang juga merupakan penceramah bebas berkata, banyak kes keretakan rumah tangga berlaku disebabkan sikap komited pasangan terhadap pekerjaan sehingga mengabaikan tanggungjawab di rumah. 

Oleh itu, katanya, suami perlu memainkan peranan penting dan memimpin isteri serta anak-anak mencapai keredaaan Allah SWT. 

“Suami perlu mencari jalan atau kaedah menghidupkan suasana hidup berumah tangga yang harmoni serta menuju ke syurga Allah SWT. 

“Contohnya buat aktiviti membaca al-Quran bersama-sama, mengajak anak-anak solat berjemaah di masjid, saling menegur, suami tegur anak dan isteri,” jelasnya. 

Bagi isteri, katanya, tidak salah untuk menegur suami sekiranya berlaku kesilapan. Namun, perlu dipastikan agar teguran berkenaan tidak mencetuskan pergaduhan atau pertelingkahan. 

“Jadilah isteri yang solehah dan berkhidmat kepada suami. Jangan sesekali memaksa suami melakukan perkara yang mereka tidak mampu. 

“Contohnya, pantang nampak jiran tukar kereta, dia pun mahu kereta baharu. Tukar langsir pun nak diikut juga. Kita bimbang sekiranya suami tak mampu tetapi rasa terpaksa sehingga buat benda tidak betul seperti makan rasuah demi kesenangan keluarga. 

“Sebagai isteri, mainkan peranan kalian untuk sentiasa berdoa agar suami dikurniakan rezeki yang berkat dan nikmat kesihatan,” katanya. 

Tiada surah spesifik bagi setiap individu yang ingin berazam, namun, setiap pasangan boleh mengamalkan surah al-Insyirah (Asy-Syarh) seperti dianjurkan oleh ulama. 

Dalam masa sama, paling penting adalah sentiasa bergantung harap dan berdoa pada Allah SWT. Antara doa yang bagus seperti dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW, mafhumnya:   

“Ya Allah, bantulah aku untuk mengingati-Mu dan bersyukur kepada-Mu serta dapat beribadah dengan baik kepada-Mu.” (Hadis riwayat Abu Daud)  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya