PETALING JAYA: Penduduk kediaman Apartmen Idaman, Damansara Damai menggesa agar kawalan keselamatan di sekitar kawasan itu ditingkatkan ekoran kes pembunuhan melibatkan Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6.
Menurut Mohd. Amir Husin, 50, penduduk setempat perlu mengambil inisiatif mempertingkatkan kawalan keselamatan di rumah masing-masing dengan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV).
“Kita perlu pertingkatkan rondaan polis dan tambah CCTV kerana tidak semua rumah memasang CCTV,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.
Jelasnya, sebagai seorang bapa, beliau bertambah risau dan mengambil langkah berhati-hati untuk mengawasi anak-anak ke sekolah.
Mengulas lanjut beliau berkata, tidak ada masalah untuk mengeluarkan duit atau mengumpul duit untuk memasang CCTV.
Menyokong pendapat sama, Mohammad Hafizan Shafizie Adnan, 30, berkata, pihak berkuasa perlu meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan kediaman itu ekoran kes jenayah semakin tinggi.
“CCTV amat penting sekarang ini sebab kita bergantung kepada CCTV kalau nak rujuk apa-apa kes.
“Kalau berbaloi dengan apa yang kita dapat tidak ada masalah pun, untuk keselamatan kita juga,” katanya.
Tambahnya, beliau juga bimbang keselamatan anak-anaknya yang bermain di luar kerana tidak mempunyai masa untuk selalu memantau mereka setiap masa.
Menurut beliau, kawalan keselamatan setakat ini tidak cukup kerana sesiapapun boleh keluar masuk ke kawasan kediaman itu.
Dalam pada itu, Salina Yusof, 44, berkata pemasangan CCTV itu perlu oleh kerana dirinya juga melakukan perkara itu bagi mengawal keselamatan anaknya.
“Macam saya sayang pasang sendiri CCTV sebab anak suka main luar rumah. Selepas kes seperti ini, saya risau dan tidak berani lepaskan anak berseorangan,” katanya.
Jelasnya, penduduk di bloknya mengumpul duit bulanan bagi pemasangan CCTV dan penyelenggaraan sebanyak RM5 seorang.
Selain itu, katanya, rondaan polis juga perlu dan ibu bapa harus awasi anak-anak disebabkan kanak-kanak ramai bermain di taman.
“Sekarang kemeriahan dah tidak, sunyi dah,” ujarnya.
Menurut penduduk yang menetap 20 tahun di apartmen tersebut, Mohd Ridhuan Jamalaudin, 50, selain Badan Pengurusan Bersama (JMB), pihak Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Pihak Berkuasa
Tempatan (PBT) juga memainkan peranan dalam meningkatkan keselamatan di sekitar kawasan kediaman itu.
Katanya, kerajaan juga perlu memperuntukkan bagi mempertingkat kawalan keselamatan di kawasan kos perumahan rendah seperti pondok pengawal dan CCTV.-UTUSAN