KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mahu memberi fokus kepada usaha melahirkan graduan dalam bidang yang mempunyai kebolehpasaran yang tinggi.
Antara bidang itu ialah sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dan pendidikan latihan teknikal dan vokasional (TVET).
Menteri, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif berkata, keutamaan pemberian bantuan adalah kepada siswa-siswi yang dalam kalangan keluarga B40 yang melanjutkan pengajian dalam bidang STEM yang mempunyai potensi kebolehpasaran yang baik dan diperlukan pada masa hadapan.
Seiring dengan usaha itu, kerajaan melalui Kumpulan Yayasan Sabah menyalurkan bantuan menerusi Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) memberi manfaat kepada hampir 3,000 pelajar dengan bantuan bernilai RM3.7 juta.
“Tabung pendidikan yang kini sudah berusia setahun itu adalah hasil idea Ketua Menteri bagi membantu agensi sedia ada dalam bidang pendidikan untuk membantu anak-anak yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Justeru, pada tahun depan, kita akan cuba membantu lebih ramai anak-anak Sabah yang ingin melanjutkan pengajian ke Semenanjung, Sarawak dan luar negara,” katanya semasa majlis simbolik penyerahan bantuan TPNS, hari ini.
Exco Pendidikan Negeri itu berkata, tabung pendidikan yang diberikan secara sekali bayar (one-off) berkenaan akan mendukung beberapa bantuan daripada agensi sedia ada seperti biasiswa kerajaan negeri, dermasiswa Majlis Ugama Islam Sabah (Muis).
Beliau berkata, selain daripada dua bidang iaitu STEM dan TVET, kerajaan negeri juga memberi fokus kepada melahirkan graduan dalam bidang pendidikan Islam dalam usaha mencapai sasaran 90:10.
Menurut Mohd. Arifin, guru-guru dalam pendidikan Islam di Sabah masih kurang,0 jadi, ada keperluan untuk meningkatan pengeluaran graduan dalam bidang pendidikan Islam.
Untuk hari ini, seramai sembilan orang menerima bantuan daripada TPNS dan masih ada kira-kira 15 orang lagi akan menerimanya termasuk pelajar daripada Universiti Al-Azhar Mesir yang mengambil bidang kedoktoran.
Bantuan TPNS kepada sembilan orang penerima itu adalah bagi mereka yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat sijil, diploma, ijazah dan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI). -UTUSAN