PUTRAJAYA: Orang ramai boleh lagi menyumbang kepada tabung khas yang diwujudkan oleh kerajaan pada Oktober lepas untuk misi membantu Palestin kerana ia masih dibuka.
Perkara itu dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar ekoran ramai tersalah faham menyangka ia sudah pun ditutup.
“Sebenarnya tiada tarikh tutup malahan kita masih buka selagi konflik di Gaza berterusan untuk membolehkan masyarakat menyumbang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menyaksikan penyampaian cek cura kepada Tabung Musa’adah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) untuk Palestin.
Ia melibatkan penyerahan oleh Aafiyat Group berjumlah RM50,000 serta Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (Bahagian Kuala Lumpur dan Putrajaya) pula sebanyak RM5,200.
Sebelum itu, beliau juga menyaksikan pemeteraian kerjasama strategik antara YWM dengan LC Wakaful Digital Sdn. Bhd. untuk masyarakat berwakaf melalui platform GoBarakah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara rasmi melancarkan Tabung Musaadah Misi Bantuan Palestin di Masjid Mahmoodiah, Presint 18, di sini pada 13 Oktober lepas.
Mengulas lanjut, Mohd. Na’im menjelaskan bahawa mungkin ramai keliru apabila media tempatan ada melaporkan tempoh kutipan tabung tersebut ditutup pada 30 November lalu.
“Setakat ini pihak kita sudah menerima kira-kira RM8.8 juta dan sumbangan ini kemudian diserahkan pula kepada Tabung Musaadah Jakim-YWM untuk tindakan susulan,” katanya.
Berdasarkan situasi semasa di Gaza yang semakin meruncing ujarnya, pihak jawatankuasa agihan telah berbincang untuk melihat potensi situasi pasca konflik di wilayah tersebut.
Justeru tambahnya, mereka berhasrat membina sebuah hospital untuk kemudahan rakyat Gaza mendapatkan rawatan perubatan ekoran banyak fasiliti kesihatan musnah di sana.
Selain itu, jawatankuasa berkenaan juga melihat kemungkinan untuk mewujudkan dapur berpusat yang mampu membekalkan makanan dalam skala besar kepada mangsa di situ.
Mohd. Na’im berkata, lokasi kemudahan tersebut sedang dikenal pasti malahan pihaknya sedang berbincang dengan beberapa buah badan bukan kerajaan untuk projek tersebut.
Antaranya ujar beliau, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) yang juga ahli Sekretariat Ops Ihsan ditubuhkan Kementerian Luar bagi misi kemanusiaan di Gaza. –UTUSAN