Tabung capai sasaran, jenazah wartawan hiburan dibawa pulang minggu depan - Utusan Malaysia

Tabung capai sasaran, jenazah wartawan hiburan dibawa pulang minggu depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tabung Bantulah Fiza yang dilancarkan Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) bagi membawa pulang jenazah wartawan hiburan, Siti Nor Hafiza Kamarudin yang meninggal dunia di Hospital Caring Call, London berjaya mencapai sasaran sebanyak RM40,585.34.

Presiden Wham, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin berkata, sumbangan yang diterima daripada pelbagai pihak dan individu itu sudah disalurkan terus ke akaun suami Allahyarham, Mohd Roshdi Ramli, 40, yang kini masih berada di London.

“Kami sangat bersyukur, hanya dalam masa 48 jam selepas dilancarkan, Tabung Bantulah Fiza! berjaya mencapai sasaran kutipan yang diperlukan bagi kos membawa pulang jenazah ke tanah air.

“Penderma terdiri dalam kalangan rakan media, artis serta orang ramai yang menyalurkan bantuan sebagai tanda prihatin selain turut berdukacita atas pemergian arwah yang banyak memberi sumbangan terhadap dunia penulisan seni dan hiburan tanah air,” katanya.

Dalam pada itu, tambah Tengku Khalidah, berikutan jumlah diperlukan sudah mencukupi, tabung berkenaan akan ditutup hari ini.

“Seluruh keluarga WHAM merakamkan berbanyak terima kasih di atas keprihatinan semua. Setelah sasaran mencukupi, tabung Bantulah Fiza yang dianjurkan WHAM ditutup,” ujarnya.

Sementara itu,Tengku Khalidah berkata, dia dimaklumkan pihak keluarga masih menunggu dokumen kematian daripada pihak hospital bagi proses membawa pulang jenazah.

“Suami arwah ada memaklumkan kepada saya mungkin pada Selasa atau Rabu depan, baru dokumen kematian dikeluarkan.

“Memandangkan ketika ini ramai petugas sedang bercuti bagi sambutan Krismas dan tahun baru, urusan mendapatkan dokumen kematian akan mengambil sedikit masa.

“Selepas dokumen kematian diperolehi, urusan dengan pihak syarikat pengurusan jenazah di sana dapat disempurnakan diikuti urusan dengan syarikat penerbangan untuk balik Malaysia,” katanya.

Ulas Tengku Khalidah, kerjasama daripada pihak Kedutaan Malaysia di London dan sahabat media di sana menjadikan segala urusan Allahyarham dan keluarganya berlangsung dengan baik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya