SHAH ALAM: Suami disyaki membunuh isterinya dengan menggunakan dumbel dekat sebuah rumah di Jalan Sungai Congkak, di sini direman selama tujuh hari bermula hari ini.
Permohonan reman tersebut dibenarkan oleh Timbalan Pendaftar, Saidatul Akmar Suberi selepas lelaki berusia 38 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majistret kira-kira pukul 9.20 pagi tadi dengan berpakaian lokap.
Tengah hari semalam, polis menahan suspek di Hospital Shah Alam selepas menerima laporan pegawai perubatan berhubung kematian seorang wanita berusia 33 tahun yang di bawa ke sana oleh suaminya bagi mendapatkan rawatan apabila didapati tidak sedarkan diri.
Difahamkan terdapat kesan kecederaan pada tubuh mangsa iaitu di bahagian kepala dan perut dipercayai akibat dipukul dengan menggunakan objek keras.
Utusan Malaysia pada tengah malam tadi melaporkan lelaki yang tiada pekerjaan tetap itu dipercayai dibelenggu perasaan cemburu dan didorong dengan kehidupan sebagai pasangan suami isteri jarak jauh menyebabkannya dikatakan tergamak bertindak memukul teman hidupnya sehingga mati pada awal pagi semalam.
Malah, dia juga disahkan terlibat dengan jenayah dadah selepas ujian saringan air kencing terhadapnya mendapati positif metamfetamin.
Ketua Polis Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pasangan suami isteri tersebut baru mendirikan rumah tangga pada April lalu, namun isteri suspek yang merupakan tenaga pengajar sebuah kolej tinggal berasingan di Sarawak.
“Mangsa pulang bercuti (di Shah Alam) untuk menghadiri perkahwinan adi iparnya,” ujarnya.
Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Beliau juga menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Mohd Afandi Ahmad ditalian 016-7252948. – UTUSAN