KLANG: Rutin harian memasak dan merasa makanan untuk keluarga menjadi mimpi ngeri buat seorang suri rumah apabila dia tergelincir dan mengalami kecederaan di bahagian belakang tubuhnya.
Menurut Gurdeep Kaur Jaswant Singh, 52, dia tidak menyangka tugas harian yang sudah dilakukan lebih 30 tahun menyebabkan dirinya mengalami kecederaan ‘slipped disc’ di bahagian leher dan pinggang.
“Ketika kejadian saya memasak bekal makanan untuk anak yang hendak pergi kerja selain untuk ahli keluarga lain. Sebagai suri rumah itulah tugas hakiki sejak berkahwin lebih 30 tahun lalu.
“Selepas kejadian saya mendapat rawatan selama tiga hari di Hospital Columbia Asia Bukit Rimau dan sehingga kini perlu mendapat rawatan susulan,” katanya ketika menerima lawatan Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Selangor, Ismail Abi Hashim dekat kediamannya di Taman Klang Utama, hari ini.
Tambahnya, dia tidak menyangka menerima pampasan faedah Hilang Upaya Kekal (HUK), RM3,300, rawatan susulan dan fisioterapi setelah menyertai Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) Disember tahun lalu.
Sementara itu Ismail memaklumkan, pampasan SKSSR bukan sahaja dibayar melibatkan kecederaan suri rumah semasa di kawasan kediaman tetapi meliputi aktiviti mereka di luar.
“Kes Puan Gurdeep Kaur, dia tergelincir kerana lantai licin dan berminyak semasa menuju ke kabinet dapur untuk mengambil sudu bagi merasa hidangan yang sedang dimasak.
“Namun bagi suri rumah yang cedera di luar rumah ketika urusan rumah tangga boleh juga mendapat pampasan. Mungkin ada yang terjatuh longkang ketika ke kedai runcit atau cedera semasa menjaga anak di luar turut layak,” jelasnya.
Katanya, setakat 26 November lalu, seramai 200,528 pencarum SKSSR direkodkan di seluruh negara manakala jumlah pembayaran faedah kepada penerima adalah sebanyak RM974,769.32. – UTUSAN