KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Istiadat Konvokesyen Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) ke-16 di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.
Keberangkatan baginda diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Naib Canselor USAS, Prof. Datuk Dr. Wan Sabri Wan Yusof serta pentadbir tertinggi negeri.
Istiadat konvokesyen universiti itu berlangsung bermula hari ini sehingga esok dengan menyaksikan seramai 1,525 graduan diraikan.
Bilangan graduan itu merangkumi penerima Ijazah Doktor Falsafah seramai 12 orang, Ijazah Sarjana seramai 34 orang, Diploma Pascasiswazah 9 orang manakala Ijazah Sarjana Muda adalah 778 orang dan 692 graduan Diploma.
Pada hari pertama juga, Sultan Nazrin berkenan mengurniakan Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana dan Diploma Pascasiswazah kepada para penerima.
Baginda turut berkenan menyampaikan Anugerah Tuanku Canselor, Anugerah Menteri Besar Perak, Anugerah Naib Canselor, Anugerah Terbaik Fakulti Pengurusan dan Teknologi Maklumat serta Anugerah Terbaik Fakulti Pengajian Islam dan Sains Sosial.
Wan Sabri dalam ucapannya berkata, konvokesyen itu juga bersejarah buat USAS kerana berjaya melahirkan graduan antrabangsa pertama daripada pengajian Ijazah Doktor Falsafah iaitu tiga dari Uganda dan seorang dari Thailand.
“Pencapaian para graduan ini adalah bukti bahawa ilmu pengetahuan tidak mengenal sempadan dan bakat akademik merentasi pelbagai budaya. Kehadiran mereka memperkayakan pengalaman pelajar USAS dan sebaliknya,” katanya.
Sejak 2002 hingga 2023, universiti itu yang sebelum ini dikenali sebagai Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) telah mempunyai 12,260 alumni.
Sementara itu, penerima Anugerah Tuanku Canselor, Mohamed Aiedil Putera Sulaiman, 26, melahirkan rasa syukur atas kejayaan menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dengan purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 3.84.
Dia gembira dengan pencapaian itu kerana pernah hampir berputus asa untuk menyambung pengajian atas faktor kewangan selain pencapaiannya tidak begitu memberangsangkan.
“Kehidupan keluarga kami sangat susah. Saya lebih mementingkan adik-adik saya yang sedang belajar. Saya sanggup mengikat perut saya, kadang-kadang sampaikan boleh kira empat bulan saya makan mi segera sebab tidak mahu menyusahkan emak bapa saya. Saya ingat adik-adik saya lebih memerlukan duit.
“Itu sebab saya pernah bertekad untuk berhenti pengajian dan hendak fokus kepada kerja untuk membantu keluarga. Tapi emak bapa saya memberi motivasi untuk menyambung belajar,” katanya yang bercita-cita menjadi pensyarah. – UTUSAN