Sultan Johor bebas beri pandangan, prinsip Perlembagaan tetap dipertahan - PM

Sultan Johor bebas beri pandangan, prinsip Perlembagaan tetap dipertahan – PM

ANWAR Ibrahim (tiga kiri) bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua kiri) melawat ruang pameran sempena Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Muzium Kesenian Islam Malaysia di Kuala Lumpur. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bebas memberi apa jua pandangan termasuk mengenai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Petronas susulan pelantikannya sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 mulai tahun hadapan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tetap mempertahankan prinsip raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

“(Sultan Johor) hanya lontar pandangan, kita boleh bincang, bagi saya tidak ada masalah. Ia tidak langsung akan menggugat kuasa dan peruntukan Perlembagaan negara kita.

“Itu pandangan saya. Saya bukan nak ulas tapi kerana saya diminta ulas kenyataan itu dan saya jawab kita boleh berunding dengan baik,” katanya kepada pemberita ketika di perpustakaan Muzium Kesenian Islam Malaysia hari ini.

Namun, katanya, soal prinsip Perlembagaan seperti demokrasi berparlimen, raja berperlembagaan tetap dipertahankan.

“Kita junjung prinsip yang sama. Jadi, tidak harus ada kebimbangan kalau ada kenyataan atau pandangan termasuk terbaharu daripada Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor.

“Pandangan ini, ya kita boleh dibawa bincang tapi tidak akan mempengaruhi dasar negara dan prinsip kita tentang raja berperlembagaan,” katanya.

Beliau mengulas mengenai titah Sultan Johor baru-baru ini yang mengesyorkan supaya SPRM dan Petronas melaporkan terus kepada Agong berbanding Parlimen seperti amalan selama ini.

Titah itu mengundang reaksi pelbagai pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang meminta Anwar supaya memelihara dan mempertahankan konsep pengasingan kuasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya