BATU PAHAT : Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dalam sidang khas Istiadat Konvokesyen Ke-23 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Batu Pahat Hari ini.
Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Ir. Dr. Ruzairi Abdul Rahim berkata, anugerah diberikan bagi menghargai sumbangan dan kecemerlangan baginda dalam kepimpinan lestari kepada UTHM, Bangsa Johor dan Malaysia.
Katanya, Sultan Ibrahim merupakan Canselor UTHM selama 20 tahun sejak tahun 2002 sebelum anaknda baginda Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Tunku Ibrahim dimasyhurkan sebagai Canselor UTHM yang baharu pada 3 Disember tahun lalu.
“Sepanjang tempoh baginda sebagai Canselor, baginda telah memberikan sumbangan besar kepada universiti ini dengan menyokong pengembangan program-program inovatif antaranya program aeronautik, termasuklah pernah menyumbang pesawat jenis Lake Renegade LA-270 untuk kegunaan program tersebut bersempena dengan ulang tahun UTHM ke-25.
“Baginda juga menyokong pengenalan Program Sarjana Muda dalam Teknologi Kejuruteraan Pengangkutan Rel, sejajar dengan perkembangan industri kereta api di Malaysia,” katanya.
Menurut beliau lagi, selama tempoh itu, baginda juga telah meletakkan nama universiti ini di persada antarabangsa melalui sokongan kewangan dan kerjasama dengan institusi pendidikan serta industri antarabangsa.
“Baginda juga telah memainkan peranan penting dalam pembangunan negeri Johor dengan menonjolkan minat baginda yang mendalam terhadap pelbagai bidang, termasuklah bidang teknologi kejuruteraan mekanikal,” katanya
Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim dimasyhurkan sebagai Pro-Canselor UTHM yang baharu bersama Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dr. Haji Azmi Rohani. –UTUSAN