Sulaiman bukan hanya peguam, tapi seorang rakan akrab - Anwar

Sulaiman bukan hanya peguam, tapi seorang rakan akrab – Anwar

SULAIMAN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemikiran dan usaha peguam terkenal Datuk Sulaiman Abdullah dalam mempertahan prinsip keadilan dan hak asasi manusia tidak dapat disangkal oleh mana-mana pihak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Sulaiman bukan hanya seorang peguam tetapi seorang sahabat akrab yang sentiasa bersamanya dan keluarga ketika dibadai cabaran serta ujian getir pada satu ketika dahulu.

Justeru beliau berkata, pemergian Sulaiman sangat memberi kesan kepada dirinya sendiri.

“Beliau tidak hanya seorang peguam, malah juga seorang sahabat yang akrab di mana beliau bersama saya dan keluarga di tahun-tahun lampau yang gelap dan getir. Fikrah dan nurani beliau yang teguh kepada prinsip-prinsip keadilan dan hak asasi manusia tidak dapat disangkal sesiapa. 

“Saya amat terkesan saat menerima berita ini tatkala masih di Tokyo untuk lawatan kerja. Mendoakan keluarganya diberi kecekalan yang ampuh selain diampun segala dosanya dan roh almarhum diberi tempat yang istimewa di sisi Allah,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Peguam terkemuka itu dilaporkan meninggal dunia dalam usia 77 tahun petang semalam menerusi satu kenyataan ringkas anaknya, Huzir Sulaiman.

Sepanjang kerjayanya, Sulaiman pernah terlibat dalam kes-kes terkenal termasuk menjadi peguambela perbicaraan kes membabitkan Anwar sendiri.

Selain, beliau  terlibat dalam pasukan pendakwaan kes rasuah bekas Perdana Menteri, Datuk Najib Tun Razak dan krisis undang-undang Tubuh Perak susulan penyingkiran bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd. Nizar Jamaluddin.

Allahyarham juga merupakan antara 12 tokoh dilantik dalam Jawatankuasa Memperkasakan Mahkamah Syariah (JKMMS) yang diwujudkan semula bagi mempertingkat dan memartabatkan sistem perundangan Syariah selaras dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan ketika era pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Malah Allahyarham pernah menjadi Presiden Majlis Peguam (2000-2001).

Jenazah Sulaiman akan dimandi dan dikafankan di Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz, Jalan Templer di sini sebelum solat Zuhur hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya