Sukhee: percubaan mengajar wanita menjadi wanita - Utusan Malaysia

Sukhee: percubaan mengajar wanita menjadi wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELIHAT beberapa filem Bollywood cemerlang yang pernah termuat dalam platform penstriman Netflix, mari kita memberi sedikit ruang untuk menyemak karya terbaharu arahan Sonal Joshi bertajuk Sukhee yang masih mendominasi carta 10 filem paling banyak ditonton di Malaysia walau sudah dua minggu ditayangkan.

Karakter Sukhee dibawakan pelakon negara itu Shilpa Shetty, dibuka dengan seorang wanita berasa diabaikan, terkongkong dalam sistem patriarki yang tidak adil negara itu. Sejujurnya, ketika di act pertama, mesej dan nada pemerkasaan wanita sudah boleh dihidu. Bila difikir-fikir mesej ini sudahpun diperjuangkan dengan sangat baik oleh pengkarya negara itu sebelum ini.

Cuma, kali ini, saya berhati-hati melihat bagaimana cerita ini mengolah mesej pemerkasaan wanita agar ia kelihatan tulen dan mungkin memberi sudut pandang baharu berbanding seniman sebelum ini.

Di awal filem, Sukhee menampilkan seorang wanita yang kerjanya hanya mengurus rumah dan setiap pendapatnya tidak penting buat suami. Kerana perangai suami yang melayannya acuh tak acuh, maka anaknya juga hilang hormat dan menganggap ibunya bukanlah seorang yang bijak.

Hari-hari Sukhee dihabiskan dengan kerja sebagai suri rumah dan mengurus bapa mentuanya yang sakit. Sampailah dia menerima undangan majlis reunion universiti di Delhi dan bapa mentuanya sempat menyuruhnya pergi.

Setelah siri pergaduhan dan perselisihan faham antara suami dan anak, Sukhee kemudian membawa diri ke tempatnya membesar iaitu Delhi dan bertemu kembali kawan-kawannya yang pernah belajar di universiti yang sama.

Apakah wanita tiada impian besar dalam hidup?

Nada filem ini kemudian berubah menunjukkan bagaimana Sukhee seolah-olah pulang kepada masa lampaunya menjadi remaja ‘cool’, bebas, ceria, kembali berdansa di pesta ketika bertemu rakan-rakannya. Sementara itu, anak dan suaminya terpaksa berdikari menguruskan kelengkapan hidup mereka di rumah.

Bukan itu sahaja, ketika reunion, dua juga sempat bermain perasaan dengan jejaka yang pernah berada di universiti yang sama. Jejaka itu juga sempat mengajarnya bagaimana cara menunggang kuda, sebuah hobi yang sangat elitis sekali.

Baik, ketika cerita ini sudah berlanjutan kepada act kedua, saya berasa ada perkara yang mungkin tidak jelas dan lompong dalam perbahasan pemerkasaan wanita dalam filem ini. Jika kita ingin menunjukkan seorang wanita itu perkasa, tidak perlu rasanya ada babak menunjukkan ia sedang bermain hati dengan lelaki yang bukan suaminya.

Mungkin pengarah ingin memberi sedikit nuansa romantis dalam filem ini namun ia kelihatan sedikit janggal, aneh dan mengelirukan. Ada juga babak di mana rakan-rakannya melarangnya untuk pulang sedangkan anaknya di rumah sudah bertanya bilakah ibunya akan kembali.

Seorang wanita masih sahaja boleh menjadi kuat, bijak, dan mampu menggalas tanggungjawab sebagai ibu dan isteri dengan baik. Dalam erti kata lain, filem ini sepatutnya menunjukkan bagaimana Sukhee kembali menjadi wanita yang mempunyai impian baharu yang lebih besar dalam hidup, bukan hanya sekadar kembali berjoget di pesta dan mengatakan itu pemerkasaan wanita.

Selain itu, tidak ada babak yang benar-benar mengesankan dan menyentuh dalam naskhah ini. Cuma Sonal Joshi berjaya membawakan alasan bijak tentang mengapa hidup kita terasa sangat muram setelah dewasa.

Semuanya kerana kita sudah menggalas banyak tanggungjawab dan harus menggunakan tenaga untuk memikirkan banyak perkara berbanding di usia muda. Selain itu, semuanya biasa-biasa sahaja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya