Kenaikan luar biasa kos penjanaan tenaga disebabkan krisis bahan api global pada 2021 mempunyai hikmah di sebaliknya yang membawa kesedaran tinggi terhadap penggunaan elektrik lebih berhemat dan pilihan beralih kepada sumber tenaga boleh baharu (TBB).
Pengguna menjadi lebih peka terhadap kaedah penjimatan dalam penggunaan perkakas elektrik ketika pergerakan terhad di rumah susulan pandemik Covid-19 dan mula memahami betapa besarnya subsidi dinikmati mereka dalam bentuk pemberian rebat.
Mulai Januari 2022 sehingga Jun 2023 lalu, bagi mengekalkan rebat 2 sen pengunaan domestik, kerajaan telah menanggung subsidi melebihi RM16 bilion berikutan harga arang bahan api, khususnya arang batu memuncak sehingga AS$415 setan metrik susulan krisis Rusia-Ukraine yang menyebabkan kos penjanaan meningkat lebih empat kali ganda.
Ini kerana sektor penjanaan di Semenanjung bergantung sebahagian besarnya kepada arang batu (57 peratus), 37 peratus gas asli, 6 peratus TBB dan baki 1 peratus minyak. Lebih 67 peratus arang batu diimport dari Indonesia, manakala lebih 13 peratus dari Australia, 9 peratus dari Rusia dan selebihnya dari Afrika Selatan.
Pergantungan sedemikian akan membuatkan jumlah subsidi dianggarkan sebanyak RM5.2 bilion pada enam bulan terakhir tahun ini, sekali gus jumlahnya dijangka mencecah RM22 bilion dalam tempoh dua tahun dan membangkitkan persoalan tiada kerajaan yang boleh mengekalkan pemberian subsidi sebegitu besar pengurusan bil pengguna.
Walaupun harga arang batu menyusut secara perlahan sehingga ke paras terkini, AS$119 setan metrik, tetapi puratanya masih lebih tinggi daripada harga asas pengiraan tarif iaitu AS$79 setan metrik. Cabaran harga bahan api ini adalah fenomena global yang mana kerajaan dan pengawal selia di seluruh dunia tidak mempunyai pilihan selain menaikkan harga elektrik.
Begitupun, pelanggan domestik di negara ini yang menggunakan tenaga elektik 1,500 Kilowatt Jam (kWj) dan ke bawah sebulan masih menikmati subsidi dan ini tidak mencerminkan agihan wajar kekayaan negara di samping memberi isyarat salah kepada pasaran.
Justeru, kerajaan sudah pun memulakan pemberian subsidi bersasar ketika semakan enam bulan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) diumumkan Jun lalu, dan kaedah ini dijangka diperluaskan dengan kumpulan sasaran menikmatinya adalah rakyat dalam golongan B40 dan M40.
Krisis tenaga juga telah membuktikan bahawa pelaksanaan ICPT, suatu mekanisme di bawah kerangka Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) dalam menentukan tarif elektrik yang diperkenalkan sejak 2015, adalah stabil dalam mengurus pembekalan elektrik negara.
Pelaksanaan mekanisme ini adalah bagi menyelaras semula peningkatan kos bahan api dan penjanaan elektrik. IBR merupakan rangka kerja yang diiktiraf di seluruh dunia dan digunakan kebanyakan negara termasuk di rantau ini.
Kini kerajaan sedang menyemak ICPT bagi menentukan kadarnya untuk enam bulan pertama bagi tahun 2024. Maka akan diputuskan apakah pemberian subsidi dalam bentuk rebat akan diteruskan ketika surcaj tidak dapat dielakkan akibat kos bahan api penjanaan masih tinggi.
Kaedahnya, melalui semakan setiap enam bulan, pengguna akan dikenakan surcaj apabila kos bahan api adalah tinggi dan menikmati rebat ketika ia lebih rendah daripada harga asas dalam penentuan tarif. Pada masa harga bahan api rendah sebelum pandemik, rakyat menikmati rebat lebih RM6.3 bilion bagi tempoh Mei 2015 hingga Jun 2018.
Alah bisa tegal biasa, lama-kelamaan pengguna domestik akan memahami bahawa surcaj dan rebat ini adalah kaedah terbaik digunakan pakai dalam tempoh sekarang dengan budaya penggunaan elektrik menjadi lebih berhemat dan tidak semberono.
Ia mendorong rakyat supaya menjadi lebih berilmu dan peka terhadap pengurusan tenaga, dengan memanfaatkan segala kemudahan dan aplikasi memantau penggunaan elektrik seperti meter pintar dan bijak memilih perkakasan efisien tenaga, bagi mengurangkan kesan surcaj dan meningkatkan kestabilan sistem bekalan.
Masyarakat peka tenaga turut bersiap berhijrah kepada TBB untuk sama-sama mengambil bahagian dalam komitmen Sifar Bersih dengan menyokong Peralihan Tenaga, melalui nyah karbon dan menjadi prosumer iaitu menjana sendiri sumber TBB di rumah atau di premis komersial.
Prosumer adalah satu pilihan kepada rakyat khususnya pengguna komersial yang sudah tentunya dikenakan surcaj ketika kos penjanaan tinggi, agar mempertimbangkan pemasangan solar di premis masing-masing sebagai langkah penjimatan jangka panjang dan menyokong inisiatif kelestarian masa depan.
Sehingga Ogos lalu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui anak syarikatnya, GSPARX Sdn Bhd merekodkan 1,829 pelanggannya memasang panel solar di bumbung-bumbung rumah kediaman, bangunan awam dan komersial di seluruh Semenanjung dengan kapasiti berjumlah lebih 300 megawatt (MW).
Secara kasarnya, menjadi prosumer ini boleh membantu mengurangkan kos elektrik antara 15 hingga 30 peratus, sekali gus menjadi peluang terbaik inisiatif penjimatan tenaga dan bersama-sama berperanan membangunkan masa depan lebih lestari.
Kalau TNB dan syarikat penjanaan membangunkan ladang solar besar-besaran dalam meningkatkan kapasiti TBB negara, komuniti pengguna pula berperanan memberi nilai tambah kepada bumbung-bumbung bangunan daripada terbiar begitu sahaja terhadap panas cahaya matahari. – UTUSAN