PETALING JAYA: Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong mahu kementeriannya dan agensi seperti Human Resources Development Corporation (HRD Corp) untuk meningkatkan kemahiran dan menjaga kebajikan pekerja di bawah seliaannya.
Selain itu, Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu juga mahu HRD Corp memperkasakan keberhasilan program dan inisiatifnya menerusi kerjasama dengan rakan strategik di peringkat domestik serta antarabangsa.
HRD Corp dalam satu kenyataan berkata, perkara tersebut disampaikan Steven Sim ketika mengadakan lawatan rasmi pertamanya ke Ibu Pejabat HRD Corp pagi ini bersama timbalannya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.
“Yang Berhormat (YB) Steven Sim turut menyampatkan amanat kepada Jawatankuasa Kepemimpinan Kanan HRD Corp supaya dapat bersama-sama memperkasakan agenda pembangunan modal insan negara,” katanya.
Lawatan tersebut merupakan kesinambungan daripada siri lawatan Steven Sim ke agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia sejurus pelantikannya sebagai Menteri Sumber Manusia pada 12 Disember lalu.
“Sewaktu kunjungan tersebut, YB Steven Sim dan Datuk Sri Abdul Rahman telah melawat kaunter perkhidmatan pelanggan dan beberapa jabatan penting di HRD Corp.
“YB Menteri dan Timbalan juga diberi taklimat ringkas mengenai fungsi, inisiatif dan pencapaian agensi ini sepanjang tahun 2023. HRD Corp juga berkongsi rekod tertingginya untuk pungutan levi, iaitu sebanyak RM2.2 billion, bayaran tuntutan sebanyak RM1.4 billion, tempat latihan sebanyak 2.1 juta dan majikan berdaftar sebanyak 90,000 dengan jumlah lima juta pekerja,” katanya.
Sementara itu, pada sesi sama, Abdul Rahman turut meluahkan hasratnya untuk melihat kerjasama yang lebih erat di kalangan agensi dan jabatan di bawah Kementerian Sumber Manusia dengan kementerian lain.
Turut hadi pada sesi lawatan tersebut adalah Ketua Eksekutif dan Ahli Jawatankuasa Kepimpinan Kanan HRD Corp, Datuk Wira Shahul Dawood dan Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Sumber Manusia, Datuk Norison binti Ramli.
Steven Sim sebelum ini adalah Timbalan Menteri di Kementerian Kewangan sebelum dilantik sebagai Menteri penuh bagi menerajui Kementerian Sumber Manusia pada 12 Disember lalu. – UTUSAN