Status OKU tidak halang anak muda bergelar usahawan kopi - Utusan Malaysia

Status OKU tidak halang anak muda bergelar usahawan kopi

MESKIPUN pergerakan terbatas kerana terpaksa menggunakan tongkat, namun tidak menghalang Muhammad Ruzayme Mohd. Irwan mengusakan perniagaan kopi di Astaka Taman Haji Mohd Amin, Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Meskipun merupakan golongan orang kurang upaya (OKU) dan terpaksa bertongkat, namun tidak mematahkan semangat Muhammad Ruzayme Mohd. Irwan, 23, dari Seberang Jaya, dekat sini, untuk mengusahakan perniagaan kopi.

Pemilik gerai ‘Creek Coffee’ itu juga tidak menjadikan alasan kekurangan diri untuk hanya berpeluk tubuh sebaliknya gigih berusaha mencari rezeki sesuai keadaan fizikalnya.

Bercerita lanjut, Muhammad Ruzayme berkata, takdir hidupanya berubah selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya tahun lalu sehingga menyebabkan kaki kirinya dari paras lutut terpaksa dipotong.

“Selepas tiga bulan kaki dipotong, saya membuat keputusan untuk berniaga air kopi bersama ibu dan bapa saudara.

“Kemudian pada awal tahun ini, saya berniaga sendiri di Astaka Taman Haji Mohd Amin dekat Permatang Pauh bermodalkan wang pampasan insurans dan sedikit wang simpanan kira-kira RM4,000,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Kata anak sulung dari empat beradik itu, keluarga dan rakan-rakan banyak memberi dorongan dan sokongan moral kepadanya, malah disifatkannya sebagai pembakar semangat untuk meneruskan impiannya bergelar usahawan berjaya.

“Saya juga tidak ketinggalan menyertai  program anjuran agensi kerajaan seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan lain-lain agensi yang menyediakan tapak perniagaan untuk usahawan kecil dan sederhana.

“Ia sedikit sebanyak membantu saya menjana pendapatan kerana inilah sumber pendapatan utama buat masa ini,” katanya yang mempunyai kelulusan Diploma Perakaunan dan Perniagaan dari Kolej Vokasional Butterworth.

Menyentuh mengenai perniagaan yang diusahakan, Muhammad Ruzayme berkata, keistimewaan air kopi keluarannya itu ialah biji kopi yang digunakan adalah premium iaitu dari beberapa buah negara pengeluar kopi seperti Peru, Bolivia, Colombia, Ethiopia dan Kenya.

MESKIPUN pergerakan terbatas kerana terpaksa menggunakan tongkat, namun tidak menghalang Muhammad Ruzayme Mohd. Irwan mengusakan perniagaan kopi di Astaka Taman Haji Mohd Amin, Seberang Jaya, Pulau Pinang.

“Biji kopi ini saya dapatkan dari beberapa pembekal tempatan, malah saya akan mengisar sendiri biji kopi kerana ia lebih segar, wangi dan rasanya lebih sedap berbanding kopi yang sudah siap diproses,” katanya yang pernah bekerja di sebuah kilang.

Katanya, meskipun pergerakannya terhad dalam menguruskan perniagaan, namun dia sudah terbiasa dengan keadaan itu kerana tidak mahu meraih simpati dari orang ramai.

“Selagi ada kudrat dan tulang empat kerat ini saya akan terus berusaha untuk meneruskan kelangsungan hidup tanpa  meraih simpati dari sesiapa pun.

“Namun, saya tetap bersyukur kerana ada pihak yang tampil dalam menghulurkan bantuan.

“Saya kini juga sedang dalam proses menunggu bantuan kaki palsu robotik dari sebuah hospital swasta di ibu kota,” katanya.

‘Creek Coffee’ dibuka setiap hari Isnin hingga Jumaat dari pukul 4 petang hingga 11 malam, manakala menu minuman bru dan ‘ice blended’ dijual bermula RM9 hingga RM11 secawan. – UTUSAN

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya