‘Stalker’ jurugambar tukar pengakuan bersalah - Utusan Malaysia

‘Stalker’ jurugambar tukar pengakuan bersalah

Menghendap
MOHAMAD Safiq Rosli diiringi polis meninggalkan mahkamah selepas menghadiri prosidingnya dekat Mahkamah Majistret di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang lelaki berusia 37 tahun menukar pengakuannya kepada bersalah atas pertuduhan mengganggu seorang wanita menerusi aplikasi media sosial Twitter (kini X) di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Tertuduh, Mohamad Safiq Rosli membuat pengakuan demikian selepas pertuduhan dimohon dibacakan semula ke atasnya oleh peguam, Fithril Hakim Ab. Jalil di hadapan Majistret Sasha Diana Sabtu.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa menggunakan akaun ‘@sopert99’ secara berulang mengganggu seorang jurugambar, Acacia Mardiana Daud, 31, yang merupakan pemilik akaun ‘@ShaFoShizzle’ sekitar 15 Julai hingga 21 Julai lalu.

Dalam kertas pertuduhan, tertuduh sepatutnya tahu gangguan tersebut boleh mendatangkan ketakutan kepada mangsa. Antara gangguan itu adalah membabitkan luahan perasaan.

Berikutan itu pertuduhan adalah suatu kesalahan menghendap di bawah Seksyen 507A (1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen 507A (3) kanun yang sama jika sabit kesalahan iaitu penjara sehingga tiga tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas kemudian memohon mahkamah merujuk kepada Seksyen 347 dan 348 Kanun Tatacara Jenayah selepas menerima laporan perubatan psikiatri terhadap tertuduh dari Hospital Bahagia di Ulu Kinta, Perak seperti diarahkan mahkamah pada Ogos lalu.

“Laporan perubatan didapati ada ketidakwarasan terhadap tertuduh, tetapi dinyatakan oleh pegawai perubatan bahawa dia fit for trial and fit for defense himself. Bermakna perbicaraan penuh boleh dijalankan walaupun tertuduh mengaku bersalah.

“Ia sama seperti dalam kes bunuh empat mangsa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang mana mahkamah membenarkan tertuduh, Rasidi Ismail dibicarakan walaupun membuat pengakuan bersalah,” katanya.

Namun, Fithril Hakim yang mewakili Mohamad Safiq mempersoalkan kenyataan Zilfinaz yang dikatakan seolah-olah tidak membenarkan anak guamnya mengaku bersalah.

“Saya mohon kepada Majistret untuk pihak pendakwaan menjelaskan adakah permohonan perbicaraan dan rujukan kepada kes sedemikian kerana tidak membenarkan anak guam mengaku salah?

“Adalah menjadi hak kepada anak guam saya atau mana-manapun tertuduh dalam mana-manapun kes untuk mengaku bersalah walau apapun hukuman yang diberikan,” jelasnya.

Sasha Diana kemudian menyatakan mahkamah menerima pengakuan bersalah oleh Mohamad Safiq selepas mengambil kira status fit for trial dan fit for defence sebelum pihak pendakwaan memohon penangguhan bagi penyerahan dokumen untuk fakta kes serta hukuman.

Mahkamah membenarkan penangguhan dan menetapkan tarikh 19 Disember depan untuk membacakan fakta kes dan menjatuhkan hukuman.

Terdahulu, tertuduh merupakan seorang warga tempatan mengaku tidak bersalah dalam pertuduhan kali pertama di mahkamah sama pada 10 Ogos lalu.

Mohamad Safiq merupakan individu pertama didakwa di bawah Seksyen 507A selepas akta tersebut dikuatkuasakan bermula tahun ini di bawah Kanun Keseksaan yang menyatakan sesiapa yang berulang kali melakukan sebarang tindakan gangguan, berniat untuk menyebabkan atau mengetahui bahawa berkemungkinan menyebabkan kesusahan, ketakutan atau kecemasan kepada seseorang mengenai keselamatannya, boleh disabitkan melakukan kesalahan menghendap.

Terdahulu, polis dalam siasatan terhadap Mohamad Safiq mendapati, lelaki yang menetap di Shah Alam itu sering menggunakan akaun Instagram dan Twitter untuk berhubung dengan mangsa dan memberikan komen-komen cinta serta menghantar pesanan berbaur lucah sehingga menyebabkan ketidakselesaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN