PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sentiasa bersedia menghadapi pelbagai cabaran dalam tuntutan tugas seiring dengan perkembangan zaman.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, bagi 2024, SPRM akan menetapkan beberapa fokus dan tekad bagi memastikan SPRM terus relevan dan efektif.
Kata beliau, saban tahun warga SPRM sentiasa berdepan dengan cabaran krisis dan tuntutan kerja baharu.
“Semua ini menuntut perubahan dalam cara bekerja, berfikir serta bertindak.
“Jadi, amat penting untuk kita berubah serta terokai perkara baharu, tinggalkan yang lapuk, baiki yang silap dan paling penting hindari perkara yang salah,” katanya menerusi ucapan khas sempena sambutan Tahun Baharu 2024 dalam hantaran dalam laman sosial rasmi SPRM hari ini.
Azam turut mengingatkan warga SPRM agar meningkatkan integriti kemahiran dan pengetahuan masing- masing agar pada masa sama dapat mencapai misi dan visi pasukan.
“Saya mendoakan agar tahun ini adalah tahun yang cemerlang untuk SPRM, bermula 2024 ada beberapa fokus serta azam ditetapkan dalam gerak kerja membantu negara mencapai negara sifar rasuah.
“Bukan itu sahaja, malah, SPRM turut bertekad untuk mengurangkan ketirisan dana dan meningkatkan ekonomi negara,” katanya.-UTUSAN