PETALING JAYA : Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan mengenai notis sitaan dikeluarkan terhadap bangunan Menara Ilham di Jalan Binjai, dekat sini yang dikatakan milik keluarga seorang bekas Menteri Kewangan.
Azam ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan namun enggan mengulas lanjut.
Sebelum itu, satu notis sitaan disiarkan akhbar ini dalam ruangan iklaneka.
Sitaan harta tak alih itu dikeluarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib dan ditujukan kepada Pendaftar Hak Milik, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan sebelum disiarkan di ruangan akhbar Utusan Malaysia.
Bangunan yang mempunyai 60 tingkat di tengah-tengah ibu kota itu disita mengikut Akta SPRM 2009.
Menerusi notis sama, ia turut melarang segala urusan mengenai Menara Ilham atau disebut sebagai harta tak alih dalam notis berkenaan.
“Pada menjalankan kuasa yang diberikan kepada Pendakwa Raya di bawah Seksyen 38(1) Akta SPRM 2009, dan terletak hak pada saya mengikut Sekysen 376(3) Kanun Tatacara Jenayah, saya Timbalan Pendakwa Raya, berpuas hati berdasar maklumat yang diberikan kepada saya oleh Pegawai SPRM, berkaitan Nombor Aduan: IPJ/RPT.NO/0145/2023.
“Bahawa terdapat harta tak alih, seperti dalam Jadual, adalah hal perkara suatu kesalahan di bawah Akta SPRM 2009. Dengan ini, mengeluarkan Notis kepada kamu supaya menyita harta tak alih seperti dalam Jadual tersebut; dan melarang segala urusan tentang harta tak alih itu.
“Kamu hendaklah serta-merta mencatatkan terma Notis ini pada dokumen hak milik yang berkenaan dengan harta tak alih itu dalam Daftar di pejabat kamu,” kata notis itu. – UTUSAN