PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita bangunan Menara Ilham milik bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.
Perdana Menteri berkata, siasatan itu dibuat tanpa mengira kedudukan, tanpa pilih kasih atau menyebelahi mana-mana pihak mahupun berniat jahat.
“Pihak SPRM menjalankan tugasnya tidak mengira kedudukan, Tun ke Tan Sri ke. Kalau tidak kritikannya nanti, yang ikan-ikan kecil ini ditangkap, kepala-kepala tak boleh disentuh, bila disentuh masih ada yang pertahankan dan digunakan pengaruh terutama media sosial untuk pertahankan.
“Biarlah siasatan dibuat, dia rahsia umum. Seorang yang menggondol kekayaan begitu besar. Biar ada siasatan supaya pemimpin jangan dilihat sebagai melindungi perasuah-perasuah besar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kota Damansara hari ini.
Justeru, beliau meminta semua pihak supaya memberikan ruang sepenuhnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan dan menafikan wujudnya muslihat di sebalik tindakan tersebut.
“Tanggungjawab SPRM jalankan tugas dan siasatan. Jangan buat tafsiran setiap kali kita sentuh orang besar, maknanya ada muslihat.
“Jadi kalau orang kecil ribuan disentuh tak ada apa-apa. Sistem apa macam itu, kita bukan mewakili satu sistem yang bobrok.
“Sistem kita mesti menunjukkan contoh keberanian untuk bertindak kepada perasuah besar. Apakah ia benar atau tidak, biarlah proses dijalankan dan kemudiannya badan kehakiman memutuskan,” katanya.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan mengenai notis sitaan dikeluarkan terhadap bangunan Menara Ilham di Jalan Binjai yang dikatakan milik keluarga Tun Daim.
Sitaan harta tak alih itu dikeluarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib dan ditujukan kepada Pendaftar Hak Milik, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan sebelum disiarkan di ruangan akhbar Utusan Malaysia.
Bangunan yang mempunyai 60 tingkat di tengah-tengah ibu kota itu disita mengikut Akta SPRM 2009.
Menerusi notis sama, ia turut melarang segala urusan mengenai Menara Ilham atau disebut sebagai harta tak alih dalam notis berkenaan. – UTUSAN