Siti Mastura diberi tempoh sehingga bulan depan fail pembelaan

Siti Mastura diberi tempoh sehingga bulan depan fail pembelaan

RSN RAYER dan DR. SITI MASTURA MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr. Siti Mastura Muhammad diberi tempoh sehingga bulan depan untuk memfailkan pembelaan dalam kes saman yang dikemukakan tiga pemimpin DAP terhadapnya berhubung ceramah yang didakwa berkaitan ideologi komunisme.

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang mengarahkan Siti Mastura menjawab saman terhadapnya sebelum atau pada 11 Januari 2024.

Saman itu difailkan secara berasingan oleh Pengerusi DAP, Lim Guan Eng; bapanya, Tan Sri Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim selaku plaintif pada 27 November lalu.

Peguam Datuk S.N Nair yang mewakili pemimpin DAP itu berkata, mahkamah turut mengarahkan ketiga-tiga plaintif memfailkan jawapan kepada pembelaan tersebut sebelum atau pada 26 Januari 2024.

“Mahkamah menetapkan 9 Februari depan untuk pengurusan kes selanjutnya,” kata beliau menerusi WhatsApp selepas pengurusan kes secara e-Review di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Tunku Intan Nadiah Tunku Mohammed Nazarin.

Ketiga-tiga plaintif turut diwakili peguam Jaden Phoon Wai Ken dan Wong Guo Jin manakala peguam Mohamad Hakim Faharmi Hassan mewakili Siti Mastura selaku defendan.

Menerusi pernyataan tuntutan, ketiga-tiga plaintif mendakwa Siti Mastura mengeluarkan kenyataan bahawa mereka mempunyai pertalian dengan Parti Komunis Malaya (PKM) dan ketuanya Chin Peng serta bekas Perdana Menteri pertama Singapura, mendiang Lee Kuan Yew.

Mereka mendakwa ketika ceramah pada 4 November lalu, defendan membuat beberapa kenyataan yang merujuk secara langsung dan tidak langsung kepada ketiga-tiga plaintif iaitu mereka mempunyai hubungan dengan parti komunis, menyokong serta mengamalkan selain menyebarkan ideologi dan falsafah komunisme dalam negara.

Ketiga-tiga ahli politik itu menegaskan bahawa dakwaan defendan adalah tidak berasas, palsu serta berniat jahat kerana sengaja mengaitkan mereka dengan PKM dan Chin Peng.

“Tindakan defendan jelas sekali didorong oleh tipu muslihat untuk mendapatkan publisiti bagi menaikkan imej parti politik defendan,” menurut ketiga-tiga plaintif.

Oleh itu, mereka menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta perintah injunksi untuk menghalang defendan daripada terus menerbitkan kenyataan sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN