MELAKA: Cadangan pembinaan sistem tram di Melaka sejauh 20 kilometer (KM) perlu mendapat maklum balas orang ramai serta diperhalusi oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, projek tersebut adalah inisiatif swasta dan setakat ini APAD sedang mendapatkan maklum balas orang ramai.
“Kami sedang memudahkan projek itu dan menunggu maklum balas mengenai pandangan orang ramai sebelum sebarang kelulusan dibuat.
“Bagi pihak kami, kami mengalu-alukan projek sebegini asalkan ia selaras dengan peraturan dan dasar (kereta api) yang berkaitan,” katanya selepas merasmikan Konvensyen DAP Melaka di Kota Laksamana di sini, hari ini.
Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan, satu sistem tram moden dicadang dibina di negeri ini oleh Metro Trem Sdn. Bhd.
Menerusi ciapan di platform X, APAD memaklumkan, sistem itu melibatkan jajaran kira-kira 20 KM.
Tambah Anthony, orang ramai boleh memberi pandangan kepada APAD dan semua ulasan tersebut akan dikumpul sebelum dibawa kepada kementerian untuk membuat keputusan.
“Jika ada syarikat swasta sedia melabur bagi pembinaan tram itu serta disokong oleh kerajaan negeri, pihak kementerian tidak ada masalah untuk memberi sokongan dan meluluskannya,” jelasnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana, Low Chee Leong berkata, orang ramai boleh memberi pandangan mengenai cadangan perkhidmatan tram di Gerai Pameran APAD di Plaza Melaka Sentral sehingga Mac tahun depan.
“Orang ramai harus menyuarakan pendapat mereka serta komen mengenai projek itu sebelum pihak berkaitan meneruskan dengan kelulusan penuh,” katanya. – UTUSAN