Sindiket ‘selit' masuk PATI musim cuti sekolah - Utusan Malaysia

Sindiket ‘selit’ masuk PATI musim cuti sekolah

MUHAMMAD Abdul Halim (depan, lima dari kanan) bersama pengarah dan pegawai penguatkuasa dari pelbagai agensi semasa pelancaran Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah dan Penyeludupan di Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar, Perlis hari ini. - UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Sindiket penyeludupan migran dikesan mengambil kesempatan musim cuti sekolah menyeludup masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) khususnya di pintu masuk sempadan negara di sini.

Selain ‘laluan tikus’ di sekitar laluan pagar keselamatan sempadan di sini, sindiket juga menjadikan suasana kebanjiran kedatangan pelancong serta suasana sibuk di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQs) Padang Besar dan Pos Imigresen Wang Kelian untuk melakukan jenayah tersebut.

Malah, sejak Januari hingga November tahun ini, sebanyak 21 kes Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) direkodkan termasuk polis berjaya menahan 53 orang tekong menerusi 32 serbuan dilakukan.

Justeru, polis negeri ini terus memantau rapat dan membanteras sebarang cubaan penyeludupan migran di Padang Besar yang menjadi laluan antarabangsa terutama sempena musim cuti hujung tahun ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, penyeludupan migran biasanya berlaku pada masa tertentu seperti musim cuti sekolah ketika laluan antarabangsa menjadi sibuk dengan kehadiran pelancong.

“Mereka (sindiket pemerdagangan manusia) akan mengambil kesempatan dengan membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) yang akan ‘diselitkan’ bersama kehadiran pelancong di pintu masuk negara,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Op Bersepadu Pencegahan Jenayah dan Penyeludupan di Ibu Pejabat Polis Padang Besar di sini hari ini.

Tambah Muhammad, setiap tangkapan akan dikoordinasikan dengan dengan Bahagian D3 Atipsom Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman untuk tindakan lanjut.

“Tangkapan yang dilakukan kontinjen akan diselaraskan dengan bantuan Bukit Aman untuk siasatan lebih terperinci termasuk mengenai proses penghantaran dan jaringan antara ejen-ejen sindiket.

“Jadi menerusi operasi bersepadu yang dijalankan ini kita juga akan melihat bagaimana kesan dan impak pelaksanaannya terhadap sindiket-sindiket tersebut,” katanya.

Katanya, operasi yang dilancarkan memiliki kekuatan sekitar 150 anggota daripada pelbagai agensi dan pihak polis memerlukan rujukan daripada pasukan sahabat termasuk dari segi dokumentasi dan lain-lain.

Menurut Muhammad, operasi itu juga selaras dengan Tahun Melawat Perlis 2024/2025 di mana Padang Besar adalah salah satu kawasan tumpuan pelancong dan polis kontinjen Perlis akan memastikan status keselamatan dan kawalan meyakinkan pelancong yang akan tiba.

“Padang Besar dipilih untuk operasi fasa satu operasi ini kerana ia adalah pintu masuk utama selain laluan perdagangan penting ke negara ini dari Thailand.

“Saya berharap operasi ini akan dapat mengurangkan jumlah laporan jenayah dan aktiviti penyeludupan yang berlaku di kawasan sempadan negara,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya