Sindiket jual gelaran 'Tan Sri' RM2 juta, dibongkar SPRM

Gelaran ‘Tan Sri’ dijual pada harga RM2 juta

SUSPEK ditahan reman SPRM di Mahkamah Majistret, Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman enam individu termasuk dua wanita kerana disyaki terlibat dengan sindiket penjualan Darjah Kebesaran Pingat Persekutuan palsu.

Sindiket itu mengenakan bayaran kira-kira RM2 juta untuk mendapatkan gelaran Tan Sri kepada calon-calon yang berminat dengan kegiatan itu dipercayai dijalankan sejak tiga tahun lalu.

Menurut sumber, suspek iaitu tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 30-an hingga 50-an ditahan pada 30 November lalu di ibu pejabat SPRM Putrajaya ketika hadir memberi keterangan.

“Manakala dua lagi suspek iaitu wanita berusia 40-an serta lelaki berusia 30-an ditahan secara berasingan pada 4 dan 6 Disember lalu.

“Suspek terbaharu yang ditahan kira-kira pukul 3 petang di Melaka kelmarin merupakan Presiden sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) disyaki menjadi dalang utama menetapkan harga bagi calon yang berminat mendapatkan pingat kebesaran.

“Dia mengarahkan ahli sindiketnya iaitu suspek kedua, lelaki berusia 50-an yang menyamar sebagai Tengku bagi mendapatkan bayaran bagi menipu kira-kira enam individu lain yang ingin mendapatkan pingat kebesaran tanpa melalui prosedur biasa,” katanya hari ini.

Sumber berkata, isteri suspek kedua pula dipercayai terlibat bersama dua lagi suspek yang menyamar sebagai ahli perniagaan sebuah syarikat berasaskan pertanian bagi menguruskan transaksi penerimaan wang tersebut.

Jelasnya, sindiket ini dipercayai mula menjalankan kegiatan ini sejak 2020 dan memperdayakan beberapa mangsa membabitkan kerugian beratus ribu ringgit dengan menunjukkan gambar dan surat dokumen daripada sebuah agensi kerajaan.

Ia bagi meyakinkan mangsa bahawa gelaran dan pingat yang diatur melalui pintu belakang ini adalah benar-benar tulen.

“Salah seorang mangsa lelaki yang berusia dalam lingkungan 50-an dipercayai membayar kira-kira RM1.2 juta untuk mendapatkan gelaran Tan Sri menerusi beberapa transaksi bank kepada sindiket ini dan SPRM sedang berusaha mengesan lima lagi invididu yang turut menjadi mangsa sindiket,” kata sumber itu lagi.

Menurut sumber lagi, bayaran yang dikenakan berbeza mengikut darjah kebesaran misalnya gelaran Datuk bernilai kira-kira RM150,000; Datuk Seri (RM250,000) manakala Tan Sri bernilai kira-kira RM2 juta.

Susulan penahanan tersebut, tiga suspek yang ditahan disambung reman selama tiga hari bermula 6 Disember lalu manakala seorang suspek dibebaskan dengan jaminan SPRM.

“Suspek wanita yang ditahan pada 4 Disember lalu ditahan reman selama empat hari bermula 5 Disember lalu manakala suspek utama ditahan reman selama lima hari bermula semalam sehingga 11 Disember ini.

“Ia selepas perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya, semalam.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, SPRM kini sedang mengesan beberapa lagi suspek yang dipercayai terlibat dengan sindiket tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN