PETALING JAYA: Pemimpin UMNO memberi amaran kepada seorang pemimpin MCA supaya tidak sesekali bermain isu perkauman berhubung penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera yang akan diadakan pada Januari tahun depan.
Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh memberi amaran itu kepada bekas Naib Presiden MCA merangkap Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker susulan kenyataannya tentang kongres itu sebagai meraih keuntungan politik.
Sehubungan itu, Muhamad Akmal berkata, Pemuda UMNO tidak akan sesekali mengubah pendirian dalam mempertahankan kepentingan agama, bangsa dan agama.
“Amaran saya pada YB Senator (Lian Ker) jangan sesekali bermain dengan isu perkauman demi kepentingan politik kamu.
“Jangan lupa, kamu dapat jawatan senator itu juga daripada Perdana Menteri yang datangnya dari orang Melayu. Cermin diri sendiri dan simpan sedikit bodoh itu,” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.
Pada minggu lalu, Lian Ker dalam mesyuarat Dewan Negara berhujah, sudah tiba masanya kongres bumiputera tidak lagi ditunggang bagi meraih keuntungan politik atau dijadikan sebagai platform kesempatan oleh sesetengah pihak yang oportunis.
Beliau berkata demikian dalam perbahasan usul Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 dalam sidang Dewan Negara.
Katanya, beliau bukan menidakkan hak orang Melayu atau mempersoal pelaksanaan kongres bumiputera, namun, setelah lebih 50 tahun, negara masih lagi mengadakan majlis kongres ekonomi bumiputera bersiri-siri, tetapi, gagal mencapai matlamatnya.
Beliau berharap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu mengubah stigma terhadap kongres itu dan benar-benar menganjurkan kongres yang menguntungkan rakyat dan negara.
“Kongres ini bermula semasa saya berumur tiga tahun dan hari ini saya sudah melebihi 60 tahun. Harapan saya, kongres ekonomi bumiputera ini adalah kongres ekonomi terakhir dan pada masa hadapan, kita dapat mengadakan kongres ekonomi negara dan 1Malaysia.
“Negara tidak akan maju ke hadapan sekiranya kongres sedemikian bertumpu pada golongan elitis Melayu yang sering kali menyalahgunakan kuasa, pengaruh dan kedudukan mereka untuk menjutawankan diri, tetapi memiskinkan negara,” katanya.
Pada 11 September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, Kongres Ekonomi Bumiputera akan diadakan pada Januari 2024 bagi menetapkan hala tuju dan pendekatan baharu agenda bumiputera yang lebih adil, saksama dan inklusif.
Dalam pada itu, Dr. Muhammad Akmal berkata, Kongres Ekonomi Bumiputera yang dijalankan sejak zaman pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini dan seterusnya tidak pernah langsung menyentuh atau menekan hak kaum-kaum lain.
“Kongres ini bertujuan memberi penambahbaikan kepada ekonomi bumiputera. Penambahbaikan ini tidak pernah mengambil hak kaum lain malah memberi kebaikan kepada situasi negara,” katanya.-UTUSAN