SUMBANGAN figura ini kepada dunia hiburan tanah air tak terkira banyaknya. Datuk M. Nasir sehingga ke hari ini terus berbakti dengan menghasilkan karya-karya muzik berimpak tinggi yang bukan sahaja sebagai sandaran hiburan, malah rujukan generasi masa kini dan hadapan.
Saban tahun, M. Nasir, 66, terus mencipta kejayaan. Terbaru, beliau diiktiraf sebagai pencipta dengan pendapatan tertinggi pada Anugerah MACP baru-baru ini.
Kejayaan lagu ciptaannya, Tiara dipopularkan kumpulan Kris yang baru-baru ini menerima lebih 200 juta tontonan di platform digital melayakkan M. Nasir menerima pengiktirafan tersebut.
Penyanyi bertaraf legenda ini tidak menolak pemasaran cara baharu menyebabkan lagu yang dihasilkan lebih tiga dekad lalu itu melonjak semula.
“Sebab itu, saya nak galakkan pencipta lagu sekarang guna kaedah pemasaran baru membabitkan platform digital seperti media sosial, penstriman dan Internet.
“Apa yang berlaku kepada lagu Tiara tidak mustahil berlaku kepada lagu-lagu lain. Tidak kira lagu baru atau pun lama,” katanya.
Dalam pada itu, M. Nasir juga berjaya layak ke semi final Muzik Muzik 38 apabila lagu ciptaannya, Sifu dan empat dekad perjalanan seni Menyantun Kasih yang dipopularkan Siti Nordiana, berjaya mara ke peringkat itu.
Katanya, tiada harapan lain, selain menginginkan apa sahaja lagu yang dihasilkannya memberi impak kepada penyanyi dan masyarakat.
“Saya tidak lagi kejarkan pertandingan. Saya cuma nak penyanyi yang bawakan lagu saya berjaya,” jawabnya ringkas.
LATAR BELAKANG
NASIR merupakan anak keempat daripada sembilan adik-beradik. Bapanya, Mohamed Sam yang berasal dari Pagoh, Muar, Johor berkhidmat sebagai pegawai di Jabatan Bomba Singapura.
Ibunya, Aesah Yahya pula merupakan suri rumah sepenuh masa yang aktif berzanji dan membaca al-Quran.
“Ibu bapa saya mementingkan didikan agama dalam kalangan anak-anaknya. Namun, ketika saya meningkat dewasa, mereka tidak pernah menghalang saya menjadi anak seni.
“Bahkan dahulu mereka juga tidak tahu tentang pembabitan saya dalam dunia seni,” katanya.
Keluarga M.Nasir memilih untuk menjadi rakyat Singapura Selepas pemisahan negara tersebut dari Malaysia pada 1965. Pendidikan awalnya bermula di Sekolah Tinggi Kerajaan Bukit Panjang sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah di Vocational Institute Boys Town.
M.Nasir kemudian meneruskan pengajian di Akademi Seni Halus Nanyang di Singapura dalam jurusan seni lukis. Keputusan itu didorong oleh minat beliau terhadap bidang tersebut.
Beliau kemudian berjinakjinak dalam bidang muzik sekitar tahun 1978 apabila rakannya, Wan Ibrahim yang juga Penerbit Eksekutif PolyGram Singapura pada ketika itu menawarkan M.Nasir peluang menulis lirik untuk kumpulan Alleycats.
“Ketika kecil, saya tidak pernah bercita-cita menjadi penulis lirik mahupun pemuzik, sebaliknya minat saya lebih kepada bermain bola sepak.
“Namun, minat untuk menjadi penulis lirik dan pemuzik mula bercambah ketika meningkat dewasa,” kongsinya.
KEMBARA
PERJALANAN seni gura yang terkenal dengan jolokan ‘sifu’ ini bermula seawal era 80-an dengan tertubuhnya kumpulan Kembara.
M.Nasir, yang waktu itu berusia awal 20 – an, menubuhkan kumpulan tersebut bersama dua anggota terawal A.Ali dan S. Sahlan sebelum disertai pasangan adik beradik Abby dan Eddie Ali, Shahrum Basiron, Rahman Suri, Zulki i Mohamed, Md. Shah Othman dan Hamdan Atan.
Mengetengahkan genre Pop Rock, Kembara berjaya mencuri perhatian peminat muzik menerusi lagu-lagu hits seperti Ekspres Rakyat, Hati Emas, Kepadamu Kekasih, Gerhana, Duit dan banyak lagi.
“Saya, pada waktu itu, cuba fahami cita rasa muzik pendengar golongan marhaen. Mereka sebenarnya mahukan muzik yang sederhana dan sedap didengar.
“Muzik Kembara ketika itu tidak menyimpang daripada apa yang dimahukan pendengar. Hati Emas misalnya, mudah diterima dan difahami pendengar.
“Muzik kami pula bukanlah tidak original. Sebenarnya, diinspirasikan daripada pelbagai genre yang diminati ramai, khususnya orang muda pada ketika itu,” terangnya.
Sepanjang enam tahun, Kembara meraih pelbagai kejayaan antaranya penghasilan tujuh album termasuk runut bunyi filem Kembara Seniman Jalanan.
Tempoh tersebut juga menyaksikan ahli-ahlinya bertukar ganti, berkurang dan bertambah. Kembara akhirnya dibubarkan pada tahun 1986.
Nasir bagaimanapun mena kan perkara itu, sebaliknya menegaskan kumpulan tersebut masih hidup dan terus berkarya.
Perkara itu terbukti menerusi penganjuran konsert antaranya Konsert Hati Emas Kembara pada 2014 yang merupakan kemunculan pertama mereka selepas 30 tahun dibubarkan.
BOLA SEPAK DAN LAKONAN
MINAT terhadap sukan bola sepak membuatkan M. Nasir ketika usia remajanya benar-benar berusaha untuk menjadi atlet sukan tersebut.
“Saya benar-benar serius ketika itu, malah hadir uji bakat untuk menjadi pemain skuad negara bawah 18 tahun. Kelebihan saya adalah sebagai penyerang.
“Tapi dalam saya mengejar cita-cita itu, saya perlu mencari kerja sampingan untuk menjana pendapatan. Banyak yang saya buat, antaranya menjadi caddy di sebuah kelab golf,” katanya.
Nasir juga tidak mena kan dirinya seorang peminat tegar dunia lakonan dan ketika usia remaja, telah mendapat pendedahan dalam dunia teater.
“Saya suka menonton lem sejak kecil lagi dan selalu menonton lem- lem dari Hollywood. Bahkan beberapa kali saya ponteng sekolah semata-mata nak tengok lem The Godfather.
“Saya aktif menyertai pementasan teater sewaktu menuntut di Akademi Seni Halus Nanyang, malah pernah juga menjadi pelakon drama radio satu ketika dahulu.
“Saya tak tinggal kebolehan itu, terus berlakon hingga filem terakhir saya, Imam,” kongsinya lagi.
Bercakap tentang bidang muzik, M.Nasir memaklumkan sehingga ke hari ini, beliau telah menghasilkan lebih 2,000 lagu, yang sejumlah besar turut dihasilkan untuk penyanyi lain.
“Kesemua lagu itu adalah koleksi yang hasilkan sewaktu bersama Kembara dan ketika bergerak solo,” jelasnya