Siasatan Tun Daim susulan maklumat Kertas Pandora - SPRM

Siasatan Tun Daim susulan maklumat Kertas Pandora – SPRM

DAIM ZAINUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan siasatan terhadap Tun Daim Zainuddin dijalankan sejak Februari lalu susulan maklumat daripada Kertas Pandora yang didedahkan sebelum ini.

Kertas Pandora merujuk kepada berjuta-juta dokumen bocor yang didedahkan kepada umum pada 2021, yang didakwa mendedahkan akaun luar pesisir pemimpin masa kini dan masa lalu dari seluruh dunia, termasuk presiden, perdana menteri, bilionair dan ahli perniagaan terkemuka.

SPRM dalam kenyataan berkata, satu notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) diserahkan kepada Daim pada 7 Jun lalu yang menghendaki beliau supaya mengisytiharkan segala aset miliknya.

Jelas kenyataan itu, aset terbabit sama ada di dalam dan luar negara secara bertulis dan akuan bersumpah dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis tersebut. 

“Bagaimanapun, Daim memohon lanjutan tempoh sebanyak lima kali dan diberikan lanjutan pada 6 Julai; 10 Ogos; 11 September; 11 Oktober dan yang terakhir pada 14 November untuk mengisytiharkan segala aset miliknya.

“Justeru, sebagai sebahagian daripada proses siasatan SPRM, pendakwa raya mengeluarkan notis penyitaan Menara Ilham pada 18 Disember lalu di bawah Seksyen 38 (1), Akta SPRM 2009 (Penyitaan Harta Tak Alih). 

“Malah, beliau (Daim) juga disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009, dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA),” katanya hari ini. 

SPRM menegaskan, pihaknya tidak pernah membangkitkan atau mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi yang menuduh Daim melakukan sebarang kesalahan.

Jelasnya, berdasarkan prinsip undang-undang ‘anggapan tidak bersalah’ (presumption of innocence), seseorang yang disiasat adalah dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan kesalahannya.

Ujarnya lagi, individu terlibat mempunyai peluang untuk membersihkan namanya sekiranya kes ini dibicarakan di mahkamah. 

“Perlu ditegaskan bahawa SPRM merupakan sebuah suruhanjaya bebas yang bertindak secara profesional mengikut undang-undang dan peraturan yang ditetapkan, serta dipantau oleh lima badan pemantau bebas.

“Sehubungan itu, SPRM menggesa semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes tersebut dan membenarkan siasatan diteruskan tanpa gangguan,” katanya. 

Khamis lalu, bekas menteri kewangan itu menafikan beliau dan keluarganya terbabit dalam rasuah atau sebarang salah laku, sebaliknya mendakwa siasatan terhadapnya bermotifkan politik.

Dakwanya, sehingga kini beliau tidak dimaklumkan mengenai kesalahan yang dilakukannya walaupun sudah berkali-kali mengajukan perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

“Saya boleh mendedahkan bahawa kami menerima surat yang ditandatangani oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sendiri yang menolak secara langsung untuk memberitahu apa kesalahan saya.

“Namun, terdapat usaha terancang untuk memburukkan saya dengan mengeluarkan maklumat salah dan sindiran tidak berasas terhadap saya,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Bangunan Menara Ilham di Jalan Binjai, Kuala Lumpur yang dikatakan milik keluarga Daim, disita SPRM.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya