PETALING JAYA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memberi jaminan siasatan adil dan telus akan dilakukan membabitkan semua sudut berhubung kejadian seorang pegawai kanan polis didakwa melanggar mati pelajar sekolah berusia 17 tahun semalam.
Beliau memberitahu Utusan Malaysia, sebanyak tujuh keterangan saksi telah diambil bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.
Kata beliau, kesemua saksi berkenaan merupakan pelajar sekolah yang berada di lokasi ketika kejadian itu berlaku.
“Pegawai kanan polis berusia 44 tahun itu akan dibawa ke mahkamah pagi ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman.
“Kita (polis) tidak akan sesekali melindungi atau berkompromi dalam isu ini walaupun ia membabitkan pegawai kanan polis,” katanya di sini.
Razarudin memberitahu, beliau sudah memaklumkan kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri serta Ketua Polis Perak bagi memantau siasat kes ini dengan rapi.
“Siasatan awal dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, namun polis juga akan melihat kepada keperluan siasatan di bawah lain-lain seksyen bersesuaian dengan kesalahan apabila siasatan lengkap kelak.
“Kita juga mengalu-alukan saksi lain yang dapat menyalurkan maklumat kejadian kepada polis.
“Apabila lengkap siasatan nanti, ia akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” jelasnya.
Dalam pada itu, keluarga Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, pelajar sekolah yang maut dilanggar dan diseret sejauh lebih lima meter oleh sebuah kereta di Jalan Taman Jati dekat Meru di sini hari ini, mahu menuntut keadilan di atas kejadian yang menimpa mangsa.
Kakak mangsa, Nur Zawani, 28, berkata, walau siapa pun pelakunya, individu itu perlu dihadapkan ke muka pengadilan dan menerima hukuman yang setimpal.
Kejadian sekitar pukul 12.30 tengah hari itu berlaku membabitkan motosikal jenis Yamaha ditunggang Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie dan sebuah kereta Perodua Ativa dipandu lelaki berusia 44 tahun.
Difahamkan, berlaku insiden tidak puas hati melibatkan pemandu kereta itu dengan mangsa kerana dikatakan membuat bunyi bising ekzos motosikal. – UTUSAN