PETALING JAYA: Kes pembunuhan Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, memasuki episod baharu pada hari kelima siasatan semalam apabila polis menemukan petunjuk baharu menjurus kepada kemungkinan hanya seorang pelaku dalam jenayah itu.
Malah, siasatan polis turut mendapati mayat kanak-kanak autisme itu turut kemungkinan dibuang pada waktu petang di kawasan takungan air 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai pada hari sama Zayn Rayyan ditemukan kira-kira 10 malam, 6 Disember lalu.
Difahamkan, siasatan kes tersebut agak rumit selain cabaran pihak polis melakukan pencarian bukti-bukti berkaitan ekoran hujan lebat di lokasi kejadian pada hari Zayn Rayyan ditemukan hingga sepanjang tempoh siasatan dijalankan setakat ini.
Bagaimanapun, pihak polis difahamkan kini mempergiatkan pencarian bahan bukti berhampiran Blok R iaitu kediaman mangsa bagi mengumpul lebih banyak maklumat serta bukti berkaitan suspek kes tersebut.
Ini termasuk saringan DNA secara besar-besaran melibatkan penghuni Apartment Idaman, Damansara Damai di sini termasuk terhadap saringan kumpulan pesalah seksual berdaftar melalui Bank Data DNA.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, berdasarkan kesan kecederaan pada leher (jerutan) dan badan Zayn Rayyan, pihaknya percaya seorang individu mungkin terlibat dalam kes tersebut.
Katanya, siasatan masih dijalankan secara menyeluruh daripada pelbagai sudut bagi memperoleh fakta dan maklumat yang tepat berhubung kes terbabit.
“Dengan kesan itu (pada leher dan badan mangsa) kita percaya seorang individu. Kita tengok semua sudut, semua ‘database’ polis dan juga ‘mass screening’.
“Kita harap boleh dapat petunjuk positif sehingga boleh tangkap penjenayah ini, buat masa ini petunjuk yang ada ini menjurus kepada seorang,” katanya di sini semalam.
Mengulas lanjut katanya, siasatan mendapati berkemungkinan mayat kanak-kanak itu dibuang pada waktu petang di kawasan takungan air 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai.
“Pada pagi hari yang sama, kita ada buat pencarian tetapi tidak jumpa. Jadi (kita buat pencarian lagi) kita jumpa mayat mangsa pada malam. Kemungkinan (mayat mangsa dibuang) petang sewaktu hujan lebat. Kita percaya pada petang itu.
“Kita tidak jumpa lagi barang yang boleh menjurus kepada penjenayah, kita masih berusaha untuk mencarinya,” katanya.
Dalam pada itu katanya, siasatan polis juga tertumpu kepada stor yang terletak 50 meter dari kediaman mangsa bagi mengenal pasti individu yang kerap berada di lokasi berkenaan.
“Kita hendak melihat ataupun menyiasat siapa yang selalu berlegar di situ, stor ini untuk penyimpanan barang-barang lusuh dan juga barang-barang kitar semula, jadi adakah kemungkinan penjenayah ada pernah ke situ, kita (mahu) lihat (padanan) cap jari di situ.
“Sebab itu saya kata siasatan ini terbuka dan kita melihat dari pelbagai sudut, sama ada daripada dalam kawasan atau luar kawasan itu. Kita tidak mahu terlepas mana-mana sudut dalam siasatan ini. Stor berkunci dan ada penjaga,” katanya.
Dalam pada itu, Hussein berkata, pihaknya penelitian video kamera papan pemuka (dashcam) setiap kenderaan penduduk di kawasan berkenaan masih berjalan bagi membantu siasatan.
“Banyak persoalan yang perlu dijawab, cuma kita perlu fakta yang boleh menjawab soalan itu, jadi kita sama-sama berdoa agar kita boleh tangkap penjenayah itu.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, pihak polis masih menunggu keputusan analisis daripada cap jari deoksiribonukleik (DNA) dipercayai milik suspek serta pakaian milik Zayn Rayyan ketika ditemukan yang telah dihantar ke Jabatan Kimia.
Hussein dilaporkan berkata, setakat ini 228 DNA milik penghuni Apartment Idaman di sini telah diambil dan proses itu akan diteruskan bagi membantu siasatan.
Jelasnya, seramai 48 individu membabitkan ibu bapa mangsa, guru dan 45 saksi serta jiran telah diambil keterangan.
Sementara itu, seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, polis telah melakukan pemeriksaan rumah ke rumah sejak hari pertama Zayn Rayyan dilaporkan dibunuh pada Khamis lalu.
“Polis ada datang untuk mengambil maklumat berapa ramai tingaal di rumah dan tanya soalan berkaitan,” katanya.
Dia yang juga menghuni di Blok R berkata, sejak kejadian terbabit, ramai penghuni memilih untuk duduk terutamanya kanak-kanak di kawasan itu.
Malah, katanya, taman permainan tersebut yang turut menjadi lokasi kegemaran Allahyarham Zayn Rayyan, kini sudah lengang apabila kanak-kanak tidak lagi berani untuk turun bermain di taman permainan yang terletak berhampiran Blok R.
“Memang saya tak bagi anak saya keluar rumah dan merayau macam dulu lagi. Kita risau dan takut selagi pembunuh belum diberkas,” katanya.-UTUSAN