GEORGE TOWN : ”Janji, cari anak saya.”
Itu pesanan Che Tom Hassan, 64, ibu kepada peserta Malaysia Everest 2023 (ME2023), Muhammad Hawari Hashim, 33, yang hilang sejak 19 Mei lalu di Gunung Everest kepada pengarah syarikat malim gunung atau sherpa dari Nepal, Nivesh Karki, 35.
Nivesh yang merupakan Pengarah Pioneer Adventure dan seorang lagi jurugambar bebas, Bidhan Shrestha didatangkan khas dari Nepal menerusi insiatif Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang (LMNPP) yang menganjurkan Program Eternal Ascent: Journey with The Malaysian Everest Expedition 2023, di Balai Seni Negeri, di sini hari ini.
Menerusi program berkenaan, Che Tom bersama isteri Muhammad Hawari, Saffiyah Tang Xie Lie, 34, serta dua anaknya iaitu Hana Sakeena Muhammad Hawari, 4, dan Haris Sufian, 2, mendengar sendiri perkongsian Nivesh dan Bidhan yang terlibat secara langsung dalam misi mencari Muhammad Hawari di puncak tertinggi dunia itu.
Che Tom berkata, dia bersyukur sebaik sahaja mendengar janji Nivesh yang akan meneruskan pencarian Muhammad Hawari.
“Saya rasa sangat lega apabila malim gunung dari Nepal akan meneruskan pencarian Hawari di sana.
“Sebagai ibu saya ingin melihat sekurang-kurangnya jasad anak saya di depan mata, selagi tidak nampak di depan mata saya akan terus tertanya-tanya di mana dia,” katanya selepas menghadiri program itu.
Muhammad Hawari dilaporkan hilang selepas keluar meninggalkan Kem Empat pada aras ketinggian 8,000 meter dari aras laut iaitu sehari selepas dilaporkan berjaya menawan puncak gunung tertinggi dunia itu.
Terdahulu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) Muhammad Hawari dilaporkan bersambung tahun depan berikutan permit khas pencarian menggunakan dron dan SAR udara yang diluluskan pihak berkuasa Nepal, sudah tamat.
Menurut Che Tom, baju sejuk berwarna oren yang dipakai Muhammad Hawari ketika mendaki Gunung Everest kini menjadi pengubat rindu kepada anaknya itu.
”Baju ini dibawa balik dari Nepal dan sekarang isteri Hawari mengantung baju ini di rumah kami, saya akan lihat baju ini setiap hari. Bila saya lihat baju ini saya rasa seolah-olah saya nampak Hawari memakainya,” katanya.
Dalam pada itu, Nivesh berkata, syarikat Pioneer Adventure serta lebih 20 lagi syarikat malim gunung di Nepal akan meneruskan pencarian Muhammad Hawari di puncak tertinggi itu pada musim mendaki akan datang iaitu sekitar April hingga Mei tahun depan.
Katanya, dia datang ke Malaysia untuk bertemu ibu Hawari atas rasa tanggungjawab dan akan menunaikan janji yang telah dibuat kepada wanita itu untuk mencari anaknya yang hilang.
“Kami akan teruskan pencarian Hawari kerana dia merupakan salah seorang ahli keluarga kami, bagi kami misi pencariannya walaupun sukar, namun ia tidak mustahil untuk dilaksanakan.
”Ini kerana terdapat jasad pendaki yang hilang sejak 1942 dapat ditemukan dalam keadaan yang masih baik, kami hanya perlu mencari sebarang tanda atau jejak yang ditinggalkan oleh pendaki,” katanya.
Tambah beliau, syarikatnya juga menawarkan ganjaran kepada mana-mana malim gunung yang berjaya menemukan Muhammad Hawari. – UTUSAN