KUALA LUMPUR: Penyanyi, Ernie Zakri, menolak dakwaan netizen yang menuduhnya sengaja menarik diri dan enggan membawakan lagu Astana di pentas Separuh Akhir Muzik Muzik 38 (SSFM38).
Menurut Ernie atau Nur Ernie Shahirah Zakri, 31 keputusan ini sebenarnya disebabkan berbaki beberapa perbincangan yang belum selesai membabitkan Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan Persatuan Penerbit Malaysia (MPA) sekaligus menyebabkan dia tidak dapat membuat persembahan di acara popular tersebut.
“Saya adalah penyanyi asal dan komposer lagu Astana, jadi sudah tentu saya mahu menyanyikan lagu ini. Sayaa tidak pernah cakap tidak mahu nyanyi atau tarik diri.
“Namun, beberapa terma perbincangan yang belum selesai antara pihak RIM dan MPB sebenarnya menjadi menghalang saya mempersembahkan lagu ini pada SSFM38,” katanya dalam kenyataan.
Pengerusi RIM, Rosmin Hashim, dalam pada itu memaklumkan perbincangan membabitkan tiga pihak iaitu RIM, MPA dan Media Prima berkenaan perkara itu telah dilakukan sejak Ogos lalu namun gagal mencapai penyelesaian.
“Banyak ahli kami yang terdiri dari syarikat rakaman tempatan dan antarabangsa tidak mencalonkan lagu artis mereka dalam program Muzik Muzik tahun ini kerana tidak bersetuju dengan klausa tertentu dalam pencalonan program itu.
“Kami sudah mengadakan sesi dialog dan sudah mengetengahkan klausa bermasalah dalam borang pencalonan tersebut untuk perhatian mereka.
“Walaubagaimanapun, sehingga kini, kami masih belum mencapai penyelesaian yang memuaskan berhubung perkara ini dan berharap isu ini dapat diselesaikan segera”, katanya lagi.
Ernie yang juga penulis lagu berkenaan, bekerjasama dengan Omar K, Syamel dan Shazriq Azeman untuk lagu tersebut.
Ramai terkejut apabila lagu tersebut tidak dipersembahkan Ernie di SFMM38, sebaliknya dinyanyikan penyanyi, Nadeera.